Selasa, 19 Januari 2010

Banjir di Sabah makin buruk


Penduduk kampung di Kota Marudu di Kota Kinabalu, Sabah, terpaksa dipindahkan oleh pasukan bomba ke pusat pemindahan sementara kerana beberapa kampung masih lagi mengalami banjir.

KOTA KINABALU - Keadaan banjir di Sabah bertambah buruk apabila bilangan mangsa yang dipindahkan setakat ini meningkat kepada 3,353 orang berbanding 2,794 orang yang direkodkan semalam.

Pertambahan sebanyak 559 mangsa itu melibatkan enam daerah iaitu Kota Marudu, Kota Belud, Pitas, Telupid, Beluran dan Kinabatangan.

Di Kota Marudu, sebanyak 1,559 mangsa dari lima buah kampung masih ditempatkan di tiga buah pusat pemindahan sejak semalam selepas rumah mereka dinaiki air.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Supritendan Mohd. Isa Yusof berkata, walaupun air di tiga sungai utama sudah berada di paras normal, mangsa yang tinggal berdekatan sungai utama terus ditempatkan di pusat pemindahan memandangkan keadaan cuaca yang masih mendung.

Antara kampung yang masih terjejas akibat banjir ialah Kampung Palumpang, Pokok Laut, Kuranji, Markatung dan Terolong.

"Jalan utama ke pekan Kota Marudu setakat ini masih boleh dilalui oleh semua kenderaan khususnya kenderaan berat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Isa berkata, di daerah Pitas pula seramai 159 penduduk dari enam buah kampung terpaksa dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara.

"Jalan utama di Pitas pula terpaksa ditutup kerana dinaiki air setinggi satu meter dan berbahaya kepada pengguna jalan raya," katanya.

Di Kota Belud, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara telah berkurangan kepada 284 orang berbanding 333 orang yang direkodkan semalam.

Pegawai Kanan Bomba Kota Belud, Dominus Sading berkata, mangsa daripada 27 buah kampung itu masih ditempatkan di dua pusat pemindahan di Dewan Tun Said dan Sekolah Kebangsaan Taun Gusi di sini.

"Keadaan paras air sungai Labak Moyo dan Tempasuk kini surut bagaimanapun bacaan masih di paras amaran.

"Antara kampung yang terlibat ialah kampung Labak Moyo, Pangkalan Abai, Gunding, Dongoi Lingkodon, Kota Bungan dan Semberai," katanya .

Sementara itu Pegawai Bilik Gerakan Bomba Kota Kinabalu, Aznam Ashraf berkata, seramai 1,122 orang di Telupid dekat Sandakan telah dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan.

Katanya, seramai 126 orang di Beluran dan 103 di Kinabatangan turut dipindahkan selepas air sungai Kinabatangan meningkat melebihi paras 10 meter.

Tiada ulasan: