Rabu, 13 Januari 2010

Balu penulis '50 Dalil' rayu kes RM200,000

BERNAMA


Rayuan PAS dan tiga yang lain terhadap satu perintah mahkamah untuk membayar ganti rugi RM200,000 kepada penulis allahyarham
Datuk Khalid Jafri Bakar Shah ditangguhkan hari ini bagi membolehkan balunya Rozihan A Ghani sebagai responden menggantikan suaminya.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datin Paduka Zaleha Zahari, Datuk Sulong Matjeraie dan Datuk KN Segara, membenarkan permohonan peguam Khalid Jafri, Shamsul Bahrain Ibrahim untuk penangguhan itu kerana beliau memerlukan masa bagi menggantikan nama responden dalam rayuan itu.

Khalid Jafri, penulis buku kontroversi 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM, 65, meninggal dunia pada 29 Ogos 2005, akibat komplikasi disebabkan kencing manis.

Pada 13 Ogos 2001, PAS sebagai pemilik dan penerbit Harakah, editornya Zulkifli Sulong, pencetak Syarikat Prema dan ketua bahagian bahasa Inggeris Harakah Muhammad Abdul Rahman Koya diperintahkan membayar RM200,000 kepada Khalid Jafri kerana memfitnah beliau dan menerbitkan kenyataan fitnah tanpa mengambil kira kebenaran atau sebaliknya.

Syarikat Prema ialah perayu dalam rayuan pertama sementara PAS, Zulkifli dan Muhammad Abdul Rahman Koya ialah perayu dalam rayuan kedua.

Shamsul Bahrain memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menggantikan nama responden kepada Rozihan dalam rayuan pertama tetapi tidak dalam rayuan kedua.

Peguam Bahari Yeow Tian Hong untuk Syarikat Prema dan Zamani Ibrahim bagi PAS, Zulkifli dan Muhammad Abdul Rahman Koya tidak membantah terhadap penangguhan tersebut.

Mahkamah menangguhkan kes itu ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

Khalid Jafri telah menyaman defendan mengenai satu artikel bertajuk 'Malaysia Sweeps 10 Oscars' yang disiarkan dalam akhbar Harakah pada Mac 1999.

Beliau mendakwa artikel itu bermakna dan difahami beliau sebagai seorang penjenayah dan watak jahat yang terbabit dalam aktiviti jenayah bagi kerja-kerja kesusasteraan Melayu.

Dalam pembelaan mereka, defendan mendakwa artikel itu berupa satu satira, cereka dan dicetak dalam bentuk gurauan.

Tiada ulasan: