Jumaat, 8 Januari 2010

Anak Timbalan Mufti Johor didakwa rasuah

SINAR HARIAN ONLINE


JOHOR BAHRU - Anak Timbalan Mufti Johor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua tuduhan menerima suapan bernilai RM50,000, tahun lalu.

Tertuduh adalah Setiausaha di Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) meminta kesnya dibicarakan kerana dikatakan dianiaya menjadi 'kambing hitam' terhadap kedua-dua tuduhan itu dan merayu mahkamah mengurangkan wang jaminan selain alasan perlu menanggung isteri dan seorang anak serta tanggungan sewa bulanan rumah dan ansuran kereta.

Mohd Helmi Sha’ri, 29, didakwa memperoleh suapan sekeping cek RM48,000, bank RHB bernombor 835770 pada 13 April 2009 daripada Zainal Abidin Ibrahim bagi membiayai pakej lawatan ke Indonesia pada 23 April hingga 27 April 2009.

Pertuduhan pertama itu dilakukan di Restoran Indahpura, Jalan Kenanga 29/14, Kulaijaya, kira-kira jam 2.45 petang hingga 3.45 petang.

Suapan diberi kepada Zainal Abidin bagi mendapatkan kerja: menaik taraf dan menurap jalan di beberapa kawasan di Simpang Renggam yang bernilai RM192,000 kepada Hazju Enterprise dan nilai sama RM192,000 kepada perniagaan Yadaha dan RM96,000 kepada Needza Enterprise.

Suapan juga diberi sebagai dorongan untuk mendapatkan kerja menurap semula jalan tar di Taman Renggam Jaya, bernilai RM255,841.70 kepada Rozlynn Enterprise, menurap semula jalan tar di Taman Mohd Yassin bernilai RM170,685 kepada Syarikat Aznor Construction serta menurap semula jalan tar di Taman Ria dan Taman Nagaria bernilai RM118,543.50 kepada Moliah Enterprise, yang mana projek itu dikeluarkan MDSR dengan nilai keseluruhan RM1.025 juta.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Helmi didakwa memperoleh suapan sekeping cek bank Muamalat bernombor 605281 pada 13 April 2009 berjumlah RM2,000 daripada Zainal Abidin di tempat, waktu dan restoran sama.

Tujuan cek diberikan sebagai dorongan seperti tuduhan pertama yang dibacakan di hadapan hakim Aliman Musri iaitu untuk mendapatkan projek kerja menaik taraf dan menurap jalan di beberapa kawasan di Simpang Renggam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinas Shabudin dan Mohd Helmi diwakili peguam Rosli Kamarudin.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24, akta sama, iaitu sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana yang lebih tinggi dan penjara tidak lebih 20 tahun.

Hakim Aliman Musri kemudian memutuskan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 hingga 18 Mac tahun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Tiada ulasan: