Isnin, 11 Januari 2010

Alwi dakwa bukti baru penyelewengan PMBK

SINAR HARIAN ONLINE


KOTA BHARU - Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) sekali lagi menjadi tumpuan apabila ada pihak yang mendakwa berlakunya salah guna kuasa dalam pembelian kek untuk Hari Raya Aidilfitri diberikan kepada Menteri Besar dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, beliau mempunyai bukti resit pembelian kek seberat 10 kilogram setiap enam biji kek, bernilai RM650 sebiji kek, yang diberikan kepada enam pihak termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Ariffahmi Abdul Rahman.

“Apa yang dikesalkan ialah kek itu diluluskan oleh CEO PMBK sendiri untuk dirinya dan bapa mentuanya, Nik Abdul Aziz.

“Ini satu salah guna kuasa dan penyelewengan menggunakan wang PMBK untuk membeli kek sempena hari raya bagi kepentingan sendiri. Walaupun ianya satu perkara kecil tetapi rasuah tetap rasuah,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Sehubungan itu, Md Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu kerana SPRM juga sedang menjalankan siasatan berhubung penyelewengan dan salah guna kuasa dalam PMBK.

“Jadi perkara ini mesti ada dalam siasatan SPRM, justeru saya minta SPRM umumkan apakah hasil siasatannya setelah tiga bulan telah berlalu.

“Kita khuatir jika lambat diumumkan berlakunya konspirasi untuk cuba menyembunyikan bukti dan fakta oleh pihak terbabit,” katanya.

SPRM mula menjalankan siasatan ke atas Abdul Ariffahmi sejak awal November lalu setelah timbul pelbagai dakwaan mengenai PMBK.

Siasatan SPRM itu dikatakan berkisar tentang salah guna kuasa Abdul Ariffahmi dan pelantikannya sebagai CEO yang dipercayai melanggar akta suruhanjaya berkenaan.

Isu itu kemudian memuncak apabila Pegawai Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz ditamatkan kontraknya secara mendadak.

Pada masa sama, Nik Abdul Aziz mengakui beliau dan keluarganya menerima tajaan haji bernilai RM65,000 yang turut melibatkan Abdul Ariffahmi dan beberapa ahli keluarganya.

Apabila isu itu mendapat liputan meluas media, Nik Abdul Aziz atas nasihat kepimpinan Pas Pusat mengarahkan menantunya itu meletakkan jawatan sebagai CEO PMBK.

Tiada ulasan: