Selasa, 12 Januari 2010

AJK Pusat MCA perlu letak jawatan: Tiong Lai

BERNAMA


JOHOR BAHRU - Naib presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta anggota Jawatankuasa Pusat (CC) yang lain memberikan kerjasam:a dengan meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan semula parti diadakan.

Beliau berkata, kerjasama daripada semua anggota CC adalah amat mustahak kerana sekiranya bilangan mereka yang meletak jawatan itu tidak mencukupi, maka krisis kepimpinan parti itu akan terus berlanjutan.

Proses pemilihan semula pucuk pimpinan MCA masih belum boleh dilaksanakan kerana kuota belum mencukupi.

“Setakat ini, hanya 13 anggota CC sudah meletakkan jawatan dan kami masih menanti bilangan itu mencukupi untuk proses pemilihan semula dilakukan dan kita juga sedang mendapatkan pandangan ahli di peringkat akar umbi untuk tujuan itu,” katanya yang juga Menteri Kesihatan kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Bangunan Perubatan Baru Kolej Selatan di sini, semalam.

“Jawatankuasa Khas pemilihan semula parti juga sudah mengadakan mesyuarat sebanyak tiga kali bagi membincangkan isu tersebut dan semuanya sudah bersedia untuk mengadakan pemilihan semula pada bila-bila masa,” katanya.

Seramai 21 anggota CC MCA perlu meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan dan setakat ini hanya Tiong Lai dan 12 anggota yang menyokong beliau menyerahkan surat peletakan jawatan sebelum tarikh akhir pada 25 Disember lalu.

Anggota CC yang menyerahkan surat peletakan jawatan termasuk Naib Presiden, Tan Kok Hong; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung dan Datuk Wong Mook Leong.

Tiong Lai berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh untuk proses pemilihan semula itu dilaksanakan, sebaliknya hanya menunggu kuota mencukupi untuk tujuan tersebut.

Tiada ulasan: