Isnin, 4 Januari 2010

ADUN Tanah Rata sertai Gerakan

SINAR HARIAN ONLINE


BENTONG – Setelah hampir dua tahun menerajui Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata berbekalkan tiket bebas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Yip Kap mengambil keputusan menyertai Parti Gerakan.

Yip Kap berkata, beliau mengambil keputusan menyertai Gerakan selepas statusnya dalam menyertai semula Parti MCA selepas Pilihan Raya Umum ke-12 ibarat gantung tidak bertali kerana permohonannya dibekukan tanpa sebarang jawapan sehingga kini.

Menurutnya, beliau sudah menghantar surat kepada kepimpinan MCA di peringkat pusat dan negeri pada 25 November 2008 untuk menarik diri dari parti itu dan menyertai Gerakan.

“Walaupun terdapat cadangan dan pelawaan dari pihak pembangkang untuk mengajak saya menyertai parti mereka namun saya masih ingin kekal dalam Barisan Nasional,” katanya pada sidang media khas di Wisma Gerakan Negeri, semalam.

Menurutnya, penyertaan beliau dalam parti Gerakan tidak disertai sebarang syarat atau jawatan tertentu kerana ia secara sukarela dan tiada paksaan.

“Namun begitu, penyertaan saya dalam parti ini (Gerakan) bukan semata-mata untuk mendapatkan peruntukan sebagai ADUN tetapi lebih kepada memperjuangkan nasib masyarakat di kawasan ini.:

“Apa yang lebih penting ialah, perkhidmatan saya kepada masyarakat dapat ditingkatkan dan masalah dihadapi oleh mereka dapat diselesaikan terutama sekali melibatkan masalah tanah yang dialami para petani di sana (Tanah Rata),” kata Yip Kap.

Menurutnya, selaras dengan penyertaannya ke dalam parti itu, sebanyak empat cawangan Gerakan akan dibuka iaitu di Tanah Rata, Kampung Raja, Bertam Valley dan Ringlet.

Sementara itu, Keong Chye berkata, Yip Kap secara rasmi menyertai parti Gerakan hari ini (semalam) dan penyertaan beliau adalah selepas mengambil kira pandangan dari penyokong peringkat akar umbi.

“Kemasukan beliau menyebabkan pertambahan kerusi DUN Barisan Nasional di negeri ini iaitu kepada 38 kerusi di mana pilihan raya umum lalu, BN menang 37 kerusi DUN dari 42 kerusi yang dipertandingkan.

"Manakala Pas menang dua kerusi iaitu di DUN Beserah dan Kuala Semantan dan DAP memenangi dua kerusi di Triang dan Tras,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan Yip Kap menyertai Gerakan adalah satu tindakan ke belakang.

“Pakatan Rakyat (PR) sendiri pernah menawarkan Yip Kap untuk menyertai kita tetapi dia memilih Gerakan,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, tindakan Yip Kap itu tidak akan merubah ‘mood’ rakyat untuk menyokong PR dalam PRU akan datang.

Beliau juga tidak mahu komen lebih lanjut dan menganggap ia keputusan peribadi Yip Kap sendiri.

Tiada ulasan: