Jumaat, 8 Januari 2010

Abim kutuk perbuatan bakar gereja

Jimadie Shah Othman


Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab membakar gereja.

Bangunan Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur terbakar tengah malam tadi, selepas dibaling dengan bom petrol.

Sekurang-kurangnya empat lagi gereja di Lembah Kelang dipercayai turut jadi sasaran dalam tempoh 12 jam lalu, termasuk Gereja Assumption di Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, Abim mengutuk perbuatan itu kerana Islam tidak membenarkan sama sekali perbuatan seumpama itu.

"Saya menyeru dan berharap tidak ada tindakan yang agresif berlaku, dan hentilah sebarang niat mengenainya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengenai perhimpunan yang dirancang hari ini di Masjid Kampung Baru, Mohamad Raimi berkata, ia akan diteruskan tetapi sekiranya berlaku sebarang provokasi, ia akan dihentikan serta-merta.

Abim adalah antara beberapa NGO Islam yang merancang untuk mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat hari ini sebagai membantah isu penggunaan nama Allah oleh mingguan Katholik, Herald.

Dalam perhimpunan nanti, katanya, Abim akan meminta semua pihak semua bertenang dalam menghadapi isu tersebut.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya jangan mengeruhkan lagi keadaan.

Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) pula menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat insiden tersebut.

Setiausaha Pekida Wilayah Persekutuan, Mohd Zain Ghazali meminta semua pihak bertenang dalam menghadapi isu tersebut.

"Kerajaan sudah mengendalikan kes ini. KDN pun telah buat rayuan. Elok diselesaikan dengan baik. Tidak perlu hendak membakar perasaan.

"Saya minta semua pihak supaya bertenang," katanya.

Mengenai perhimpunan bantahan anjuran Pekida di Masjid Negara, Mohd Zain berkata, ia akan diteruskan selepas solat Jumaat hari ini.

Beliau memberi jaminan bahawa perhimpunan itu akan berjalan secara aman.

"Kita hanya hendak berkumpul dan menyuarakan pandangan, bukan hendak berarak atau apa-apa. Ia tidak akan lebih daripada itu," katanya.

Tiada ulasan: