Rabu, 6 Januari 2010

7 peserta Viva Palestina termasuk warga Malaysia ditahan

BERNAMA


PELABUHAN EL-ARISH: Lebih 10 anggota konvoi Viva Palestina cedera, empat daripadanya parah, dan tujuh ditahan polis Mesir dalam kejadian tunjuk perasaan di sini pada 11.40 malam tadi waktu tempatan.

Antara ditahan termasuk seorang warga Malaysia, Ibrahim Mohd Azmi, pelajar Perubatan Universiti Bristol United Kingdom yang menyertai konvoi itu sebagai sukarelawan konvoi dari London 6 Disember lalu.

Tujuk perasaan itu oleh anggota Viva Palestina sebagai membantah keputusan Kerajaan Mesir melarang 59 buah kenderaan konvoi dibawa keluar dari pelabuhan Al-Arish untuk dibawa ke Gaza.

Polis Mesir bertindak ganas terhadap mereka selepas tiga jam anggota konvoi itu menunjuk perasaan di hadapan pintu masuk dan keluar keselamatan di pelabuhan El Arish.

Empat anggota konvoi yang parah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Beberapa orang anggota konvoi mengalami kecederaan ringan akibat terkena lontaran batu dan gas pemedih mata.

Selain warga Malaysia, turut ditahan tiga rakyat Britain, dua warga Amerika dan seorang rakyat Kuwait.

Saksi berkata, kejadian itu dicetuskan ejen provokasi pihak kerajaan Mesir yang sengaja menghuru-harakan keadaan.

Terdahulu, anggota kontinjen berhimpun dan mengadakan benteng manusia memprotes keputusan kerajaan Mesir menghalang 59 kenderaan termasuk dua trak keluar dari pelabuhan itu.

Pada masa sama, pihak berkuasa Mesir menempatkan 189 anggota unit anti rusuhan lengkap dengan meriam air dan gas pemedih mata.

Menurut pengasas Viva Palestina, George Galloway, rundingan di peringkat tertinggi sedang diadakan oleh pihak Turki dengan kerajaan Mesir termasuk menuntut semua anggota konvoi yang ditahan dibebaskan segera.

Sehingga berita ini ditulis pada jam 4.10 pagi waktu tempatan, keadaan kembali tenang walaupun kawalan dan kepungan masih dilakukan pihak berkuasa Mesir di pelabuhan itu, lokasi semua anggota konvoi kini berkampung.

Konvoi Viva Palestina disertai 450 pelbagai warga dunia yang bergerak dalam 220 kenderaan dalam misi penghantaran bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat Palestin di Gaza.

Misi bermula dari London pada 6 Disember lalu, melalui pelbagai tempat di Turki, Syria, dan Jordan.

Mereka sepatutnya tiba di Gaza pada 27 Disember tetapi tertangguh akibat halangan kerajaan Mesir yang enggan membenarkan mereka menggunakan bandar Nuweiba sebagai pintu masuk ke Rafah sebelum tiba di Gaza.

Akibatnya, mereka terpaksa kembali ke Damsyik, Syria untuk mencari laluan lain untuk memasuki Rafah sebelum tiba di Gaza.

Tiada ulasan: