Sabtu, 23 Januari 2010

7 lelaki ditahan rosak dua gereja

Suspek dipercayai bertindak sendiri tidak didorong pihak tertentu

Oleh Yahya Awang


TAIPING: Polis menahan tujuh lelaki berusia 17 hingga 29 tahun dalam empat serbuan berasingan di Kamunting lewat malam kelmarin dan awal pagi semalam kerana disyaki terbabit merosakkan dua gereja dan pondok pengawal Sekolah Menengah Convent di sini pada 10 Januari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata tiga daripada mereka ditangkap di sebuah rumah di Kamunting manakala empat lagi ditahan di beberapa kawasan berasingan dan kini direman selama enam hari mulai semalam bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Dua daripada suspek bekerja, tiga bekerja sendiri manakala dua lagi penganggur dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Siasatan awal mendapati kejadian khianat yang berlaku tidak didorong oleh mana-mana pihak atau organisasi atau menganggotai sebarang kumpulan tetapi dipercayai melakukan perbuatan khianat secara spontan sebagai reaksi terhadap isu penggunaan kalimah 'Allah'.

"Suspek hanya sekumpulan lelaki sekitar Kamunting yang bertindak sendiri. Ia perbuatan nakal dan reaksi terhadap isu yang kecoh (ketika ini). Polis percaya tangkapan ini dapat menyelesaikan kes khianat ini," katanya semalam.

Zulkifli berkata, penangkapan itu adalah hasil maklumat orang ramai dan siasatan rapi yang dijalankan polis dan semua mereka disiasat mengikut Seksyen 436 dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Katanya, hanya sebuah gereja terdapat kesan kebakaran dan kesan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 436 iaitu melakukan khianat dengan api yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi dua kes lagi, ia disiasat mengikut Seksyen 295 kerana kesalahan merosakkan tempat ibadat dan awam yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dua buah gereja terbabit ialah Gereja All Saints di Jalan Taming Sari dan Gereja Katolik St Louis yang terletak bersebelahan sekolah Menengah Convent Taiping yang rosak akibat perbuatan khianat itu.

Kedua-dua buah gereja berkenaan tidak mengalami kerosakan manakala insiden di sekolah itu membabitkan kerosakan kecil apabila cermin kaca pondok pengawal pecah.

Serangan terhadap dua buah gereja dan sekolah itu dipercayai berlaku antara jam 3 pagi hingga 4 pagi dan disedari oleh pengawal sekolah dan paderi gereja yang kemudian membuat laporan polis.

Tiada ulasan: