Isnin, 18 Januari 2010

52,403 sokong Murugiah Presiden PPP

SINAR HARIAN ONLINE


JOHOR BAHRU - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah mendapat sokongan sebanyak 52,403 tandatangan penyokongnya dari Johor yang bersetuju beliau untuk menjadi Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP).

Pengerusi PPP negeri Johor, Dr T Murugaraj meminta Presiden parti itu, Datuk M Kayveas dan penyokongnya menghormati keputusan yang dibuat Tribunal Timbangtara (Tribunal Mate) pada 10 Disember lalu bahawa Murugiah adalah Presiden PPP yang sah.

Beliau berkata, penyokong Kayveas perlu berhenti dari terus mengganggu Murugiah memandangkan keputusan yang diumumkan Tribunal itu akan membawa satu kehidupan yang baru dalam parti PPP.

“Semua Ketua Bahagian PPP negeri Johor amat berpuas hati dengan keputusan yang diumumkan tribunal itu dan ini membuktikan Murugiah masih dihormati dan diperlukan dalam PPP,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media yang diadakan di pejabat PPP Pulai di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, keputusan tribunal itu tidak diumumkan kepada media sebelum ini kerana menghormati keputusan Murugiah yang ingin berjumpa dan memaklumkan perkara itu sendiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlebih dahulu.

Murugaraj berkata, satu laporan polis juga akan dibuat di sini terhadap Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan, A Chandrakumanan kerana didakwa cuba menimbulkan kekecohan pada Majlis Perhimpunan Penerangan Ketua-Ketua Cawangan PPP, 10 Januari lalu.

Selain itu, antara laporan lain yang akan dibuat adalah meminta agar Kayveas dan penyokong-penyokongnya menghormati Murugiah selain laporan terhadap Kayveas kerana tidak menyediakan penyata kewangan parti selama tempoh tujuh tahun selain tidak mengemas kini status ahli.

Beliau berkata, laporan polis itu akan dibuat bersama Setiausaha Perhubungan PPP negeri, M Gajenderan.

Murugaraj turut menggesa Murugiah agar mengambil tindakan yang sama membuat laporan polis bahawa beliau diganggu dan cubaan kumpulan terbabit merosakkan majlis yang dihadirinya tempoh hari.

Bagaimanapun Murugaraj berkata, pihaknya mengalu-alukan kedatangan ahli PPP dan penyokong Kayveas yang ingin sertai PPP bersama mereka namun tiada tawaran jawatan yang akan diberikan.

“Kita terima jika mereka ingin sertai PPP tetapi tiada jawatan yang akan diberikan kepada mereka,” katanya mendakwa Kayveas kini bukan lagi Presiden PPP yang sah berpandukan keputusan yang dibuat tribunal baru-baru ini.

Antara yang hadir pada sidang media itu ialah Ketua PPP Bahagian Kluang, Kota Tinggi, Pulai, Parit Sulong, Pontian, Tenggara, Sembrong dan Johor Bahru.

Tiada ulasan: