Khamis, 21 Januari 2010

500 lori ke Singapura – Shaziman

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA


KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor (gambar) berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa jumlah lori pasir dari Johor yang memasuki Singapura setiap hari adalah sebanyak 500 buah.

Beliau berkata, perkara itu diberitahu kepadanya dalam satu taklimat yang dihadiri semasa melawat Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Kastam Tanjung Puteri, Johor pada November tahun lalu.

“Saya menerima maklumat itu ketika diberi taklimat semasa melawat kawasan itu tahun lalu dan saya hanya menyatakan apa yang diberitahu itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shaziman bagaimanapun tidak mengulas lanjut sama ada pasir yang dijual ke Singapura itu adalah pasir biasa atau silika kerana perkara tersebut bukan di bawah bidang kuasa pihaknya.

Kebenaran atau permit mengambil pasir dikeluarkan oleh Pejabat Tanah di negeri berkenaan manakala urusan pergerakan lori yang mengangkut pasir ke Singapura dipantau oleh Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di dalam blognya mendakwa mendapat maklumat jumlah sebenar lori pasir dari Johor yang memasuki Singapura adalah 700 buah sehari dan bukan 500 seperti dinyatakan Shaziman.

Dr. Mahathir dalam blognya, http://chedet.co.cc turut mempersoalkan sama ada pasir dari Johor yang dihantar ke Singapura setiap hari itu merupakan pasir biasa atau pasir silika yang digunakan untuk membuat mikrocip.

Tiada ulasan: