Khamis, 7 Januari 2010

35 tren LRT laluan Kelana Jaya tahun depan

BERNAMA


K:UALA LUMPUR - Masa menunggu bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada waktu puncak akan dipendekkan menjadi dua minit berbanding tiga minit sekarang apabila kesemua 35 set tren, dengan setiap tren dilengkapi empat gerabak (koc), beroperasi sepenuhnya di laluan itu tahun depan.

Selain empat tren sedia ada di laluan LRT itu akan diubahsuai daripada dua gerabak menjadi empat, tren baru yang lain pula akan diterima secara berperingkat mulai sekarang sehingga tahun depan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Menurutnya, penambahan bilangan tren itu juga dapat menampung jumlah penumpang yang tinggi di laluan LRT itu yang dianggarkan melibatkan 180,000 pengguna sehari.

“Tren baru itu berkemampuan menampung kira-kira 800 penumpang dalam satu masa berbanding dua gerabak sekarang yang hanya dapat menampung 400 penumpang sahaja,” katanya sidang media selepas menaiki tren baru LRT dari depoh LRT Kelana Jaya ke KL Sentral, semalam.

Ditanya sama ada khidmat LRT laluan Ampang juga akan menggunakan koc baru seperti LRT laluan Kelana Jaya, Tee Keat berkata, kementeriannya akan melakukan kajian terhadap perkara tersebut.

Mengenai cadangan agar kerajaan membina laluan LRT yang baru di Shah Alam, Seri Kembangan dan Puchong di Selangor, ia masih dalam kajian dan memerlukan perancangan yang komprehensif.

Tiada ulasan: