Ahad, 17 Januari 2010

35 ditahan ketika 'pesta' menari khayal


Oleh Mohd Iskandar Ibrahim



SEBAHAGIAN wanita yang ditahan ketika asyik menari di sebuah pangsapuri di Cheras, semalam.


Polis rampas pelbagai jenis dadah termasuk ganja, ketamin, syabu dalam pangsapuri

KUALA LUMPUR: Seramai 35 individu termasuk enam wanita yang sedang asyik menari dipercayai di bawah pengaruh dadah diberkas dalam satu serbuan oleh polis di sebuah pangsapuri bersebelahan Menara PGRM di Cheras, di sini pagi semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan kira-kira jam 4 pagi hasil maklumat orang awam dan risikan pihak berkuasa itu, polis turut menahan seorang lelaki dipercayai penganjur 'pesta' berkenaan dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk ganja, ketamin dan syabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman, berkata semua yang ditahan berusia 18 hingga 30 tahun.

"Sebelum ditahan, mereka asyik menari dan berpesta sehingga tidak menghiraukan kehadiran pihak berkuasa.

"Malah, mereka sengaja memasang lagu seperti yang sering diaminkan di disko dengan kuat bertujuan bagi mengelak aktiviti mereka dihidu orang lai," katanya di sini semalam.

Katanya, siasatan awal yang dijalankan polis mendapati pengunjung pesta itu ialah pelajar yang baru pulang dari pusat hiburan di sekitar ibu negara.

"Mereka dipercayai mendapat maklumat mengenai 'pesta' di pangsapuri itu ketika berkunjung ke pusat hiburan terbabit.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan lokasi 'pesta' berkenaan disewa sehari lebih awal oleh individu tertentu," katanya.

Katanya, ujian air kencing mendapati hanya empat daripada pengunjung pesta itu negatif dadah dan polis masih menyiasat sama ada pesta berkenaan turut mengandungi aktiviti seks bebas.

Semua mereka yang ditahan kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiada ulasan: