Isnin, 18 Januari 2010

2,794 mangsa banjir di Sabah dipindahkan



SUNGAI Tampasuk di Kota Belud melepasi paras bahaya iaitu lebih 5.49 meter, semalam.

UTUSAN ONLINE

KOTA KINABALU - Seramai 2,794 mangsa banjir di Sabah mula dipindahkan sejak semalam melibatkan daerah Kota Marudu, Kota Belud, Lahad Datu, Kinabatangan dan Telupid.

Proses memindahkan mangsa-mangsa banjir ke pusat pemindahan masih berjalan dan daerah seperti Beaufort, Pitas dan Tuaran kini diletak dalam keadaan berjaga-jaga.

Di Kota Marudu, kira-kira 1,177 penduduk dari 23 buah kampung dipindahkan ke dewan masyarakat selepas rumah mereka dinaiki air sejak pukul 8 malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Isa Yusof berkata, mangsa banjir ditempatkan di tujuh buat pusat pemindahan berikutan sungai berdekatan yang melepasi paras bahaya.

"Paras air Sungai Bandau, Tandek dan Kinarom masing-masing melepasi paras bahaya iaitu tujuh hingga lapan meter. Kampung yang terlibat antaranya Lubak, Palumpang dan Kelam Batu.

"Bagaimanapun jalan utama ke pekan Kota Marudu setakat ini masih lagi boleh dilalui khususnya oleh kenderaan berat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, di sini hari ini.

Sementara itu di Kota Belud, penduduk dari 27 buah kampung dipindahkan ke Dewan Tun Said dan Sekolah Kebangsaan Tankusi sejak petang semalam.

Pegawai Kanan Bomba II Kota Belud, Dominus Sading berkata, paras sungai Labak Moyo dan Tampasuk kini melepasi paras bahaya iaitu 5.49 meter setakat pukul 2 petang ini.

"Kampung yang terlibat antaranya Labak Moyo, Pangkalan Abai, Gunding, Dongoi Lingkodon, Kota Bungan dan Semberai," kata Dominus.

Menurutnya, banjir itu juga mengakibatkan Jalan Kota Belud-Kudat berdekatan kampung Labak Moyo terputus hubungan dan ditutup buat sementara waktu.

Di Lahad Datu pula, lebih 184 penduduk dipindahkan iaitu di pusat pemindahan banjir di Gereja Anglikan dan Dewan Pusat Latihan Vokasional Pertanian Lahad Datu.

Pegawai Daerah Lahad Datu Zulkifli Nasir berkata, antara kawasan yang terlibat ialah kampung Sapadulang, Bukit Belacon, Lituk Pulau , Segama Batu 8, Segama Pangkalan dan Cocos Batu 6.

Dalam pada itu di Kinabatangan, kira-kira 450 penduduk dari tiga kawasan dipindahkan membabitkan kira-kira 112 keluarga.

Pegawai Daerah Kinabatangan, Abdul Latif Kandok berkata, mangsa yang terlibat adalah dari kampung Pelangi, Jaya Baru dan kawasan lain di Pangkalan Bukit Garam.

"Bacaan paras air sungai Kinabatangan kini 10.10 meter dan hampir mencecah paras bahaya iaitu 10.30 meter, semua bantuan sudah diberikan kecuali beberapa kawasan terpencil," katanya.

Di Telupid pula, kira-ira 600 penduduk dari enam buah kawasan iaitu Kampung Labau, Buis, Ansuan dan Boutu termasuk penempatan di tepi sungai dan pekan sudah dipindahkan.

Angka mangsa banjir di daerah tersebut dijangka terus meningkat sekiranya hujan lebat berterusan khususnya di kawasan rendah.

Tiada ulasan: