Jumaat, 1 Januari 2010

13,000 Pemandu Tanpa Lesen Dikesan Tahun Lepas

BERNAMA


KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mengesan lebih 13,000 pemandu di negeri ini memandu kenderaan tanpa lesen atau telah tamat tempoh dalam 11 bulan pertama tahun lepas.

Pengarahnya, Abdul Hamed Akob berkata, pegawai penguatkuasa JPJ Sarawak yang membuat pemeriksaan dalam operasi sekatan jalan raya telah mengeluarkan 13,613 saman kepada pemandu yang memandu tanpa lesen, tamat tempoh atau tidak membawa lesen.

"Ini merupakan jenis kesalahan lalu lintas tertinggi yang dicatatkan pemandu di Sarawak," katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu JPJ bersama agensi kerajaan di Batu 6, Jalan Kuching-Serian di sini hari ini.

Selain itu, Abdul Hamed berkata, kesalahan menghalang lalu lintas (8,637 saman dikeluarkan), kerosakan teknikal (6,948 saman), tamat atau ketiadaan lesen kenderaan motor (cukai jalan) (6,542 saman) dan lebih muatan (2,209 saman) merupakan antara kesalahan tertinggi yang dicatatkan di negeri ini, dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, pada Januari hingga November tahun lepas, JPJ Sarawak mengeluarkan 52,456 saman atas pelbagai kesalahan kepada pemilik kenderaan yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Lembaga Pelesanan Kenderaan Perdagangan 1987.

"Sebanyak 41,026 saman kepada pemilik kenderaan persendirian (kereta dan motosikal), kenderaan perkhidmatan awam (469 saman), kenderaan barangan (10,874 saman) dan kenderaan institusi memandu (41 saman). Sebanyak 13,068 kes telah dibawah ke mahkamah," katanya.

Menurut beliau, kutipan hasil JPJ Sarawak, sehingga November tahun lepas ialah RM77,170,481 iaitu RM44,998,293 untuk kutipan lesen kenderaan motor (cukai jalan), kutipan lesen memandu (RM14,652,682), kutipan jualan nombor (RM7,180,075) dan kutipan kompaun dan saman (RM5,151,356).

Mengenai kenderaan sapu di negeri ini, Abdul Hamed berkata, JPJ Sarawak berjaya menahan 750 buah kenderaan sapu sejak September tahun lepas di enam bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri

"Sebanyak 156 kenderaan telah diambil tindakan bermula Januari hingga November tahun lepas dan daripada jumlah tersebut 23 kenderaan negara jiran dan semuanya telah disita dan pemilik telah didakwa di mahkamah," katanya.

Abdul Hamed berkata, Sarawak mencatatkan 64,631 pendaftaran kenderaan baru dalam 11 bulan pertama tahun lalu termasuk 30,659 buah kereta dan 28,123 motosikal.

Tiada ulasan: