Ahad, 24 Januari 2010

11 barang kawalan Tahun Baru Cina

M. SHAHRINNAHAR ABD. LATIB


BERA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKP) telah mengenal pasti 11 jenis barangan yang akan dijadikan barangan kawalan di bawah skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baru Cina akan datang.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian juga sedang berunding dengan pihak industri untuk menetapkan harga siling bagi barangan tersebut.

"Kita akan umumkan mengenai barangan kawalan ini serta harganya pada 3 Februari ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kerayong Jaya di sini hari ini.

Menurutnya, pihak kementerian juga telah menambah dua barang kawalan baru iaitu daging babi dan ikan bawal putih.

"Ini kerana, setiap kali Tahun Baru Cina, dua barang ini akan mendapat permintaan yang tinggi daripada pengguna," katanya.

Dalam pada itu kata beliau, tempoh penguatkuasaan kawalan harga barangan tersebut akan dilanjutkan daripada 10 kepada 12 hari.

"Ini berikutan pada hari ke-9 selepas Tahun Baru Cina, masyarakat Hokkien akan meraikan satu lagi perayaan iaitu Thni Kong Seh," katanya.

Beliau berkata, bekalan barang-barang keperluan untuk perayaan kali ini mencukupi kerana pembekal dan pemborong barangan itu memberi jaminan untuk mengadakan bekalan secukupnya.

"Kebiasaannya orang ramai akan membeli barang-barang keperluan itu secara banyak seminggu sebelum sambutan Tahun Baru Cina. Oleh itu, pihak KPDNKP juga akan meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, cadangan pemberian subsidi petrol berdasarkan kapasiti enjin dan jenis kenderaan masih belum dimuktamadkan kerana kerajaan masih meneliti mekanisme pelaksanaannya.

"Perkara itu masih lagi dalam perancangan dan masih belum diputuskan tetapi tunggulah keputusannya nanti," ujarnya.

Tiada ulasan: