Sabtu, 16 Januari 2010

1,000 kakitangan JPNK ditamat kontrak

BERITA HARIAN ONLINE


KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendedahkan kira-kira 1,000 kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) yang kontrak mereka ditamatkan pada 2008 dan tahun lalu, menagih pembelaan.

Berikutan itu, Cuepacs akan mengatur pertemuan dengan bekas pekerja berkenaan pada awal Mac ini bagi membincangkan masalah mereka.

Pada masa yang sama Cuepacs berharap JPNK menimbang keputusan menyambung semula kontrak pekerja berkenaan yang kini mengalami tekanan hidup.

Pengerusinya, Omar Osman berkata pihaknya diberitahu ada antara bekas pekerja itu meminjam daripada ceti haram atau along untuk menyara keluarga dan membiayai perbelanjaan persekolahan anak.

Ketika dihubungi Berita Harian, Omar menjelaskan ada yang gagal membayar balik pinjaman along dan terpaksa menghilangkan diri buat sementara waktu kerana bimbang keselamatan diri.

Katanya, kebanyakan pekerja yang ditamatkan kontrak perkhidmatan itu sudah bekerja lebih 20 tahun. Disebabkan faktor usia, mereka sukar mendapat pekerjaan baru.

"Ada antara mereka menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan menelefon saya sambil menangis mengadu masalah termasuk mahu meminjam wang bagi membantu membayar keperluan persekolahan anak.

"Bagi yang terdesak, mereka meminjam wang daripada along sehingga RM5,000, selain bank untuk membiayai keperluan hidup dan persekolahan anak-anak.

"Sekarang along dan bank sudah kejar mereka untuk menuntut bayaran berkenaan, malah ada kereta yang ditarik akibat gagal membayar ansuran bulanan," katanya.

Tiada ulasan: