Khamis, 26 November 2009

Umno tetap pertahan kerusi DUN Kota Siputeh

BERITA HARIAN


KUALA LUMPUR: Umno akan tetap mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah daripada jatuh ke tangan pembangkang jika berlaku pilihan raya kecil di kawasan itu.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun DUN berkenaan kubu kuat Umno namun parti itu dan Barisan Nasional (BN) Bahagian Jerlun tidak harus mengambil mudah terhadap keupayaan lawan.

Katanya, Umno juga menghormati keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi berhubung isu kerusi DUN Kota Siputeh.

“Pada hemat saya, pilihan raya kecil ini tidak perlu diadakan kerana ia cuma membabitkan masalah teknikal. Tidak mustahil kerusi DUN Kota Siputeh akan tetap dipertahankan oleh Umno jika pilihan raya kecil diadakan.

“Saya ingin mengingatkan kepemimpinan akar umbi di Jerlun jangan ambil mudah perkara ini kerana jika berlakunya pilihan raya kecil, jentera parti lawan juga akan bertumpu di kawasan berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Songkitti Jaggabatara di pejabatnya di Kementerian Pertahanan di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, pemimpin parti di setiap peringkat bahagian juga perlu meneruskan khidmat kepada rakyat kerana akar umbi memberi kepercayaan kepada mereka.

Tiada ulasan: