Rabu, 11 November 2009

Umno Kedah dakwa Speaker hina mahkamah

Abdul Rahim Sabri


Umno Kedah mendakwa tindakan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail membatalkan jemputan kepada ADUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif, daripada menghadiri sidang DUN 17 November depan, sebagai 'menghina mahkamah'.

Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ia kerana speaker telah bertindak mendahului keputusan mahkamah mengenai status ADUN Kota Siputeh itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijadual mendengar esok permohonan Speaker DUN Kedah itu untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan Abu Hassan sebagai wakil rakyat Kota Siputeh.

Ahmad Bashah diminta mengulaskan kenyataan Dr Abdul Isa semalam bahawa Abu Hasan bukan lagi ADUN kawasan berkenaan.

Speaker DUN Kedah itu dilaporkan berkata, Abu Hasan telah hilang kelayakan selepas ADUN Kota Siputeh itu gagal menghadiri sesi DUN dua kali berturut-turut yang menyalahi Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (UTKK).

"Jadi sementara nak semak, mengikut pandangan kita, kedudukan dia (Abu Hasan) bukan lagi anggota dewan sejak 17 Ogos lalu, tidak timbul subjudis," kata Dr Abdul Isa dalam laporan tersebut.

Dr Abdul Isa juga dilaporkan berkata, beliau juga telah membatalkan surat jemputan kepada Abu Hasan bagi menghadiri sidang DUN pada 17 November ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashah berkata keputusan tersebut tidak sepatutnya dibuat memandangkan Speaker DUN Kedah itu sendiri yang merujuk kes status Abu Hasan kepada mahkamah.

"Beliau tidak konsisten dalam membuat keputusan...bagi surat (jemputan), lepas tu tarikh balik. Tidak bolehlah buat ikut suka hati," katanya.

Ditanya apakah tindakan Umno berhubung perkara tersebut, Ahmad Bashah berkata pihaknya akan menunggu keputusan mahkamah terlebih dahulu.

"Selepas itu kita akan putuskan tindakan susulan," katanya.

Tiada ulasan: