Khamis, 19 November 2009

Tujuh kena taun jawab soalan dalam bilik khas

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA TERENGGANU: Seramai 11 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini terpaksa menjawab soalan peperiksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, dengan tujuh daripadanya menghidap taun.

Tujuh calon dijangkiti taun mengambil peperiksaan itu di bilik khas tingkat lapan HSNZ, manakala empat lagi masing-masing akibat kemalangan jalan raya dan menghidap ketumbuhan ditempatkan di tingkat lima.

Ketua Pengawas SPM di HSNZ, Hadi Ariffin, berkata semua pelajar terbabit menduduki peperiksaan sejak jam 8 pagi hingga 4 petang semalam bagi kertas Bahasa Melayu I, Bahasa Melayu II dan Sejarah.

“Empat pengawas peperiksaan memantau calon SPM ini,” katanya di hospital itu, semalam.

Beliau berkata, 11 calon SPM yang menduduki peperiksaan di HSNZ dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor. SMK Ibrahim Fikri. SMK Bukit Tunggal. SMK Sri Nerang dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Batu Rakit.

Tinjauan Berita Harian di bilik khas yang dijadikan pusat peperiksaan mendapati semua calon menjawab soalan dengan tenang, walaupun keadaan kesihatan kurang mengizinkan.

Waktu peperiksaan juga lebih fleksibel dan calon dibenar melanjutkan waktu jika mengalami masalah kesihatan.

Seramai 23,535 pelajar dari sekolah menengah di seluruh negeri ini menduduki SPM yang bermula semalam hingga awal Disember depan.

Sementara itu calon SPM, Nurul Halwani Mat Zin, dari SBP Batu Rakit berkata, beliau menduduki peperiksaan di HSNZ selepas disahkan menghidap ketumbuhan ovari beberapa hari sebelum itu.

Calon dari SMK USJ 23 Subang Jaya, Selangor, Muhammad Faizuddin Aziz, pula berkata beliau dimasukkan ke hospital itu selepas terjatuh motosikal ketika pulang ke rumah ibunya di Padang Midin Khamis lalu.

Sementara itu di KANGAR, sembilan calon SPM di Perlis, termasuk enam mangsa kemalangan menduduki peperiksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Enam mangsa nahas itu ditempatkan di dalam satu bilik khas bersama seorang lagi calon yang cedera selepas terjatuh dalam bilik air asrama sekolahnya. Mereka dipantau tiga pengawas peperiksaan.

Dua lagi pelajar mengambil ujian di dua bilik pengasingan termasuk seorang daripadanya di wad psikiatri.

Tiada ulasan: