Sabtu, 14 November 2009

TLDM Tolak Unsur Khianat Dalam Kebakaran Kapal KD Sri Inderapura

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Lembaga Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menyiasat kebakaran kapal pengangkut KD Sri Inderapura di Pangkalan TLDM Lumut, Perak 8 Oktober lepas menolak wujudnya unsur khianat dan sebaliknya merumuskan kejadian itu berpunca daripada lintar pintas.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata lintar pintas dipercayai telah mengakibatkan kabel di bahagian atas Geladak Kereta Kebal kapal itu terbakar.

Katanya rumusan itu diperkuatkan lagi dengan faktor bahawa kabel kapal yang berusia lebih 40 tahun yang memungkinkan salah satu kabel terbakar dan mencetuskan kebakaran besar.

"Bagaimanapun pengesahan tidak dapat dibuat kerana pakar forensik dari Jabatan Bomba tidak dapat membuat penyiasatan lanjut disebabkan kapal itu musnah serta separuh tenggelam.

"Lembaga itu juga menolak kemungkinan kebakaran disebabkan oleh puntung rokok melalui kajian komprehensif yang mendapati puntung rokok tanpa nyalaan api tidak akan menghasilkan kebakaran yang terjadi pada himpunan tilam," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.

Abdul Aziz berkata tilam tersebut merupakan sebahagian daripada stor logistik yang bakal dihantar ke Sabah dan Sarawak dan lembaga itu juga telah meneliti tiada sebarang petunjuk terhadap kemungkinan kebakaran disebabkan tindakan khianat.

Siasatan mendapati kebakaran pertama mula dikesan oleh sistem pengesan kebakaran pada pukul 6.16 pagi hari kejadian, bagaimanapun tindakan awal yang diambil oleh petugas pada hari itu tidak dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya tindakan salah yang kritikal adalah bekalan kuasa elektrik darat dimatikan tanpa menghidupkan janakuasa kapal terlebih dahulu.

Tindakan itu telah mengakibatkan kesemua sistem melawan kebakaran kapal tidak dapat berfungsi, namun kebakaran dapat dikawal pada pukul 5.20 petang.

Pemeriksaan lanjut terhadap kawasan kebakaran tidak dapat dilakukan kerana keadaan kapal masih dikategorikan sebagai tidak selamat untuk dimasuki dan menyukarkan anggota bomba memastikan kebakaran benar-benar telah dipadamkan.

"Kebakaran terjadi semula pada pagi 9 Oktober berpunca daripada bara api yang gagal dikesan di kawasan stor cat dan simpanan minyak hidraulik serta menyebabkan api merebak dengan begitu cepat dan intensiti kebakaran adalah serius akibat kehadiran bahan minyak," katanya.

Apabila Bomba mengisytiharkan api tidak dapat dikawal, keputusan dibuat agar kapal ditarik keluar dari jeti pangkalan dan dikandaskan di perairan selamat bagi mengelak daripada berlakunya keadaan krisis yang boleh menjejaskan keselamatan jeti operasi dan juga kawasan perairan laluan kapal keluar masuk Pelabuhan Lumut.

Beliau berkata kebakaran tersebut merupakan yang kedua selepas kebakaran pada tahun 2002.

Abdul Aziz berkata tindakan tatatertib akan diambil ke atas beberapa pegawai dan anggota jika mereka didapati bersalah sehingga menyebabkan kebakaran tidak dapat dikawal dan menyebabkan kerugian pada harta kerajaan.

TLDM juga akan mengambil beberapa pendekatan proaktif termasuk meningkatkan keupayaan sistem serta infrastruktur melawan kebakaran di Jeti Operasi TLDM Lumut serta menjalankan pemeriksaan rapi terhadap sistem kabel dan peralatan elektrik di kapal-kapal yang berusia melebihi 20 tahun.

Beliau berkata sebagai penghormatan dan pengikhtirafan terhadap khidmat serta sumbangan cemerlang kapal itu, satu upacara khas melucut tauliah 'Kapal Diraja' mengikut tradisi TLDM akan dilaksanakan di lokasi kapal itu dikandaskan.

Kapal yang dibina pada tahun 1970 itu ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada tahun 1995 dan banyak menyumbang kepada perkhidmatan negara, termasuk dalam operasi khas menyelamatkan kapal MISC iaitu Bunga Melati 2 dan 5 yang ditawan lanun Somalia pada Ogos tahun lepas di samping melindungi kapal-kapal dagang Malaysia yang melalui di Teluk Aden.

Tiada ulasan: