Khamis, 5 November 2009

Tiga anggota sindiket skim cepat kaya ditahan

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Md Fuzi Abd Lateh


KUALA KUBU BHARU: Polis menahan tiga anggota sindiket skim cepat kaya yang turut menjadikan orang kenamaan sebagai sasaran dan merampas wang tunai RM600,000 dari kereta Jaguar yang mereka naiki di Bandar Bukit Sentosa, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan pada jam 12.30 pagi itu, polis turut menemui dokumen mengandungi senarai nama dipercayai pelabur skim itu.

Difahamkan, selain orang kenamaan penganjur skim itu dan dua pembantunya yang berasal dari Chemor, Perak itu turut mensasarkan golongan remaja, kakitangan kerajaan dan warga emas sebagai peserta skim pelaburan yang dikatakan dianjurkan sejak lima tahun lalu.

Malah, mereka dikatakan cuba mengabui mata pihak berkuasa dengan meletakkan beberapa pelekat kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada kereta mewah itu, dipercayai untuk memperdaya pihak berkuasa ketika melalui sekatan jalan raya.

Berdasarkan maklumat diperoleh Berita Harian, skim cepat kaya itu yang disahkan tidak mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia (BNM), berselindung di sebalik perniagaan pelbagai produk dan memberi keuntungan besar hingga kereta mewah itu mampu dibeli secara tunai.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, ketiga-tiga mereka berusia antara 29 dan 37 tahun itu ditahan dalam Jaguar hitam oleh pasukan khas yang menjalankan operasi ‘Ops Kargo’.

Katanya, ketika itu tiga lelaki terbabit berada di dalam kereta itu dipercayai melakukan urusan berhubung skim pelaburan mereka.

“Pemeriksaan lanjut, polis menemui wang tunai itu yang tersimpan dalam sebuah beg dan diletakkan dalam but belakang kereta itu. Polis juga menemui 21 fail dan beberapa buku cek yang mengandungi dokumen dan keterangan pelabur yang menyertai skim itu.

“Kita percaya mangsa pelaburan dijanjikan pulangan RM300 dalam tempoh dua minggu bagi setiap pelaburan RM1,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, semalam.

Difahamkan, sindiket itu akan pergi menemui pelanggan mereka untuk memungut wang pelaburan, manakala pembayaran pulangan dibuat melalui cek.

Norel Azmi berkata, senarai pelabur menunjukkan kira-kira 500 pelabur terjebak dalam skim itu sejak sindiket itu beroperasi pada 2004.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek itu direman selama empat hari bermula semalam dan siasatan kes itu kini diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan BNM untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Kanun Keseksaan kerana suspek gagal memberi keterangan jelas dan Seksyen 170 kanun sama kerana memiliki pelekat kereta lambang PDRM dan ATM.

Tiada ulasan: