Khamis, 5 November 2009

Tidak izin keluar KWSP tunai haji

Oleh Idris Musa


KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan wang daripada dana terbabit bagi menunaikan haji, tetapi ahli berusia 50 hingga 54 tahun boleh berbuat demikian melalui Pengeluaran 50 Tahun.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata bagi ahli KWSP berusia 50 hingga 54 tahun, boleh mengeluarkan semua simpanan dalam Akaun 2 di bawah Pengeluaran 50 Tahun untuk pelbagai tujuan termasuk mengerjakan ibadat haji.

“Oleh itu, ahli boleh menggunakan kemudahan pengeluaran ini untuk menunaikan fardu haji. Bagaimanapun, kerajaan tidak bercadang membenarkan ahli bawah usia 50 tahun mengeluarkan sebahagian simpanan KWSP untuk menunaikan haji.

“Ini kerana tujuan skim KWSP untuk menyediakan simpanan persaraan bagi membiayai sara hidup apabila ahli bersara.

“Pengeluaran yang dibenarkan oleh skim KWSP buat masa ini hanya tujuan pembelian rumah, membiayai kos pendidikan tinggi dan kos penyakit kritikal,” katanya, menjawab soalan lisan Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baru), bersama soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) mengenai wang simpanan KWSP untuk tujuan haji, di Dewan Rakyat, semalam.

Dr Awang Adek berkata, pada waktu ini terdapat kira-kira 188,000 ahli KWSP yang layak mengeluarkan simpanan bawah Pengeluaran 50 Tahun dan jika dikira mengikut kuota haji, jumlah itu sudah dapat menampung hampir lapan tahun untuk menunaikan ibadat terbabit.

Menurutnya, pengurusan wang ahli di KWSP dilakukan secara teratur bagi menjamin ahli selepas persaraan kelak dan kerana itu ia tidak boleh dikeluarkan untuk pelbagai keperluan, melainkan yang sudah ditetapkan.

“Kita memang nak buat semua, tetapi kalau nak buat semua dalam satu instrumen susahlah, malah tidak akan mencapai matlamat,” katanya.

Kepada soalan tambahan daripada Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) yang bertanyakan mengenai pelaburan KWSP serta pulangan dan jaminan kepada pencarum, beliau berkata, simpanan dalam KWSP selamat.

“Sebanyak RM256 bilion dalam KWSP, semuanya dilabur, sebahagian dilabur dalam surat jaminan atau sukuk, RM6 bilion dilabur di luar negara.

“Pulangan ini dapat dilihat melalui kadar dividen. Memanglah pulangannya rendah sedikit mutakhir ini kalau dilihat kepada sejarahnya,” katanya.

Mengenai Seksyen 167 Akta Insurans 1996 dan Peraturan 6, Peraturan KWSP 2001, katanya, pada masa ini kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkannya.

Tiada ulasan: