Ahad, 8 November 2009

Tiba masa Najib selesai krisis MCA

BERNAMA


Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata sudah tiba masa untuk kepimpinan MCA meminta bantuan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan kemelut dalaman parti itu.

Katanya, beliau percaya perdana menteri tidak akan teragak-agak untuk memberikan bantuan jika diminta bagi memulihkan keadaan dalam parti itu memandangkan masalah kepimpinan MCA turut memberi kesan kepada BN.

"Saya bukan mahu masuk campur dalam krisis dalaman MCA tetapi hanya mengambil berat terhadap kawan-kawan.

"Kalau dulu perdana menteri hanya memberi nasihat tetapi sekarang ini susah sampai tahap untuk menyelesaikannya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri karnival perhimpunan belia kawasan parlimen Sembrong di Kluang hari ini.

Hishammuddin, yang juga ahli parlimen Sembrong, berkata semua pemimpin MCA harus melihat kemelut dalaman parti dari semua aspek dan tidak bertindak mengikut emosi demi kepentingan masa depan bersama.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga menteri dalam negeri berkata kementeriannya sedang memantapkan modul latihan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai usaha menarik golongan belia menyertai agensi itu.

Katanya, masih terdapat kira-kira sembilan juta anak muda masih belum terbabit dalam sebarang aktiviti persatuan di negara ini.

"Kita mahu modul dalam RELA dan JPAM yang lebih mencabar dan menguji semangat anak muda dari semua kaum.

"Ini dapat mencapai matlamat gagasan 1Malaysia di mana penting bahawa masyarakat pelbagai kaum khususnya anak muda dapat berinteraksi semasa mereka di samping membantu mengurangkan kadar jenayah di negara ini," katanya.

Tiada ulasan: