Rabu, 11 November 2009

Tiada Sekretariat OKU di Selangor

Oleh : Shakira Buang-Tv Selangor


SHAH ALAM - Selangor berhasrat untuk membantu golongan Orang Kurang Upaya walaupun tiada belanjawan khas diperuntukan oleh kerajaan pusat bagi membantu golongan terpinggir ini.

Exco Kebajikan,Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata kerajaan negeri tetap prihatin terhadap golongan ini yang tercicir dari arus ekonomi perdana.

“Secara rasminya tidak ada penubuhan sekretariat Orang Kurang Upaya di negeri Selangor bagi makluman sidang Dewan, bajet dan peruntukan khas tidak diperuntukkan tetapi banyak program-program yang melibatkan OKU yang telah kerajaan negeri Selangor laksanakan,”katanya.

Rodziah berkata demikian sewaktu membentangkan usulnya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor,pagi tadi.

Menurut Rodziah kerajaan negeri juga telah menyediakan beberapa perkhidmatan dan kemudahan hasil kerjasama padu dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor dan semua Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) di negeri Selangor.

Antara bentuk bantuan yang diterima adalah Bantuan Alat Tiruan atau Alat Sokongan iaitubantuan membeli peralatan sokongan yang disyorkan oleh pakar perubatan.

Geran Pelancaran iaitu bantuan kewangan kepada OKU yang berpotensi dalam perniagaan kecil-kecilan dan usahawan bertujuan memberi galakkan OKU hidup berdikari.

Di peringkat PBT pula, kemudahan infrastruktur mesra OKU turut diberi perhatian di bangunan-bangunan komersial dan bangunan-bangunan kerajaan.

Menurut Rodziah lagi, kerajaan negeri tetap melaksanakan program-program dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi dan kehidupan OKU.

“Di antara program-program yang telah dilaksanakan dan akan terus adalah seperti kursus kemahiran menghasilkan aksesori wanita, bengkel sulaman reben, kemahiran jahitan dan lain-lain kemahiran lagi yang boleh membantu OKU menjana dan menambah pendapatan mereka selain kursus kemahiran dan bantuan lain dari pelbagai.

Tiada ulasan: