Isnin, 2 November 2009

Tiada pilihan raya baru di Perak: Nazri

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA KANGSAR: Pilihan raya baru tidak mungkin berlaku di Perak kerana kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sekarang sudah disahkan mahkamah dan mendapat mandat daripada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beliau dan SPR tidak pernah pun berbincang mengenai kemungkinan akan diadakan semula pilihan raya di negeri ini.

“Walaupun pelbagai cara dilakukan oleh pihak pembangkang bagi mendesak pilihan raya diadakan semula di Perak.

“Ia tidak akan berlaku melainkan bersama pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Komuniti Sekolah Parlimen Padang Rengas di sini, kelmarin.

Program anjuran bersama Kerajaan negeri, Jabatan Pelajaran Perak dan Perak Hanjoong Simen Sdn Bhd.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Chenderoh, Datuk Siti Salmah Mat Jusak; Pengarah Eksekutif Perak Hanjoong Simen Sdn Bhd, Datuk Hamidah Makhtar; Pegawai Pelajaran Kuala Kangsar, Marazlen @Mar Azlan Amran dan Pengetua SMK Tun Perak, Mohd Azam Mahmud.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, pembangkang di Perak tidak tahu langsung menghormati undang-undang dan institusi Raja apabila mereka mendesak supaya diadakan semula pilihan raya di negeri itu.

"Kerajaan tidak akan tunduk dengan sebarang kehendak pembangkang dan saya memohon agar seluruh rakyat Perak tidak bimbang," katanya.

Tiada ulasan: