Ahad, 22 November 2009

Tiada jemaah hilang

Oleh Marzuki Yusoff


MEKAH – Tabung Haji berjaya mengatasi masalah jemaah di kalangan warga emas yang hilang atau sesat ketika berada di Padang Arfah, Muzdalifah dan Mina semasa mengerjakan ibadat haji.

Masalah itu yang sebelum ini merunsingkan Tabung Haji dapat diatasi melalui perkenalan khidmat bantuan khusus kepada warga emas terpilih yang dikenal pasti melalui temuduga yang diadakan.

Pengurus Besar Bahagian Bimbingan Tabung Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, sebelum khidmat itu diperkenalkan empat tahun lalu, kerap berlaku kehilangan jemaah warga emas ketika berwukuf walaupun peratusan yang hilang masih kecil.

‘‘Ada saja laporan jemaah yang hilang ketika itu. Ada yang ditemui empat lima hari kemudian dan pernah berlaku kira- kira sepuluh tahun lalu, jemaah yang hilang tidak ditemui langsung.

‘‘Atas dasar prihatin, Tabung Haji kemudian memperkenalkan khidmat bantuan secara individu atau one to one service kepada warga emas yang dipilih setelah disaring melalui temuduga khas,” katanya kepada petugas media Tabung Haji di sini, hari ini.

Semasa proses temuduga itu, jelas beliau, jemaah akan dinilai dari segi kesihatan, tahap kefahaman mereka mengenai ibadat haji dan kemampuan mental mereka termasuk sama ada mampu berdikari atau sebaliknya.

‘‘Oleh kerana khidmat bantuan ini mempunyai hadnya, jemaah yang dikategorikan warga emas adalah mereka yang berusia 85 tahun ke atas, tidak tahu menjaga diri dan mengerjakan haji tanpa waris,” tambahnya.

Mengenai perkhidmatan yang diberikan, Tengku Aziz berkata, jemaah warga emas terbabit akan menerima layanan dan kemudahan dari segi mengerjakan ibadat dengan bantuan seorang mutawif, ditempatkan di khemah khusus, dijaga makan minum dan bantuan lain sehingga ke peringkat ke bilik air.

‘‘Alhamdulillah, sejak perkhidmatan itu diperkenalkan kes-kes kehilangan jemaah ketika berwukuf menjadi sifar,” katanya.

Difahamkan, ramai jemaah warga emas termasuk yang datang mengerjakan haji bersama waris memohon untuk mendapatkan kemudahan tersebut.

Kebiasaannya, jemaah warga emas mewakili tujuh hingga lapan peratus daripada 26,000 warga emas ke tanah suci dan daripada bilangan itu hanya satu peratus berada dalam kategori memerlukan bantuan khusus.

Salah seorang daripada jemaah, Chik Dagang, 90, berkata, kedatangannya ke tanah suci tahun ini adalah untuk kali kesembilan.

‘‘Mak cik pernah dua kali pergi haji dengan menaiki kapal laut. Satu peristiwa yang mak cik masih ingat sampai sekarang ialah kejadian tembak- menembak di Masjidil Haram semasa pergi haji pada tahun 1987.

‘‘Masa itu mak cik terjun dari tempat tinggi untuk selamatkan diri,” katanya yang berasal dari Johor dan ditemani oleh beberapa ahli keluarga termasuk cucunya, Maisuri Zainal, 22.

Seorang lagi jemaah, Kamariah Jamil, 85, berkata, dia sudah enam kali mengerjakan haji dan pernah merasai datang ke tanah suci bersama suami dengan kapal laut.

‘‘Seingat mak cik, perkhidmatan kapal laut itu adalah penghabisan sebelum jemaah naik kapalterbang ke Mekah,” katanya yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan kali ini datang ke tanah suci bersama anak dan menantunya.

Tiada ulasan: