Selasa, 17 November 2009

T'ganu perkenal peperiksaan dalam talian

BERNAMA


Mulai pertengahan tahun depan, murid-murid Tahun Enam di seluruh Terengganu akan menduduki peperiksaan mereka secara dalam talian (online) selepas kesemua murid di negeri itu memperolehi e-Book yang dibekalkan oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, murid-murid terlibat akan menduduki peperiksaan bulanan, peperiksaan penggal selain latihan tubi secara dalam talian bagi meningkatkan kecemerlangan mereka dalam pelajaran.

"Guru-guru akan menyediakan soalan untuk mereka sebagai latihan melalui e-Book yang diberikan kepada kira-kira 23,000 murid darjah lima tahun ini dengan peruntukan kira-kira RM23 juta," katanya selepas menyampaikan e-Book kepada sekolah-sekolah di kawasan DUN Wakaf Mempelam di Kuala Terengganu hari ini.

Seramai 503 pelajar termasuk 22 pelajar dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Pendengaran) turut menerima e-Book berkenaan.

Ahmad berkata, 10 pelajar yang berjaya mendapat keputusan ujian bulanan terbaik secara dalam talian di setiap sekolah akan diberikan hadiah sebagai galakan.

Sementara itu Ahmad berkata pelajar Terengganu, yang akan menduduki peperiksaan SPM esok, tidak perlu bimbang jika banjir
melanda di negeri itu kerana kerajaan telah membuat persiapan sejak awal lagi.

"Banjir berlaku setiap tahun di Terengganu dan bagi pelajar yang menduduki SPM, kita memang dah sedia pusat-pusat peperiksaan yang baru untuk mereka jika banjir," katanya.

Sebanyak 197 buah pusat peperiksaaan SPM disediakan di seluruh Terengganu dan 90 buah pusat penempatan pelajar diwujudkan jika berlaku banjir.

Tiada ulasan: