Khamis, 19 November 2009

Tauliah: Sila kemuka rayuan, kata Jais

Jimadie Shah Othman


Tujuh sarjana Islam yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi boleh mengemukakan rayuan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selepas permohonan mereka untuk mendapat tauliah mengajar agama di negeri itu ditolak baru-baru ini.

"Kita sentiasa bertolak ansur. Mereka boleh mengemukakan rayuan. Perkara ini boleh dibincangkan dan kita pun sentiasa memantau," kata ketua penolong pengarah bahagian dakwah Jais, Ahmad Zaki Arshad.

Pada 12 November lalu, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib mendedahkan di DUN Selangor nama tujuh pemohon tersebut, yang gagal mendapat tauliah, walaupun berkelulusan dalam bidang agama.

Mereka termasuk Dr Azwira Abd Aziz, ketua Jabatan al-Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan anak bekas mufti Perlis, Fathul Bari Mat Jahya.

Jais bagaimanapun menafikan menolak permohonan mereka kerana disyaki beraliran Wahabi, tetapi sebaliknya menyatakan ia kerana mereka tidak mengikut "prosedur mengisi borang".

Selain tujuh ilmuan tersebut, ahli parlimen PAS Khalid Samad turut dibatalkan tauliahnya atas alasan mempunyai "rekod jenayah".

Sebelum itu, dalam surat Jais bertarikh 10 Julai 2008, wakil rakyat Shah Alam diberikan tauliah mengikut kategori-kategori D1 (boleh mengajar atau berceramah) dan D2 (mengajar fardhu ain atau berkitab).

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad Zaki menjelaskan, menurut prosedur permohonan tauliah, pihak yang ditolak berhak merayu untuk dipertimbangkan semula.

"Mohon saja. Kemudian kita boleh bincang dan syorkan keputusannya pada mesyuarat," kata Ahmad Zaki.

Sementara itu, ditanya sama ada Jais tertekan dengan campur tangan politik akibat penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ahmad Zaki berkata, pihaknya hanya menjalankan tugas.

Penangkapan Dr Mohd Asri pada 1 November lalu dikritik pelbagai ahli politik, antaranya, bekas perdana menteri Tun Dr Maharhir Mohamad dan bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Dengan kontroversi tersebut, ironinya, tambah Ahmad Zaki, terdapat peningkatan luar biasa jumlah pemohon tauliah mengajar agama di Selangor.

"Pada masa yang sama, alhamdulillah. Dulu pada tahun 2007 dan 2008, kita hendak wawancara dua bulan sekali pun susah. Sekarang sehari ada 24 orang (pemohon)," kata Ahmad Zaki.

Tiada ulasan: