Khamis, 19 November 2009

Tanah runtuh ancam nyawa penghuni flet

Oleh Ifwan Tun Tuah


KAJANG: Sebelas keluarga yang mendiami tingkat bawah Blok B, Flet Taman Cheras Awana dekat sini, diarahkan berpindah serta-merta selepas lereng bukit bersebelahan bangunan itu runtuh menyebabkan tiga kereta dan sebuah motosikal tertimbus, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, cerun bukit berkenaan yang dihadang benteng penahan runtuhan dikatakan runtuh berikutan hujan lebat berterusan lebih lima jam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood, berkata maklumat awal mendapati berlaku pergerakan tanah di kawasan bukit berdekatan yang sebelum ini pernah dilaporkan tidak stabil.

“Beberapa bulan lalu cerun bukit di kawasan sama runtuh dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melantik kontraktor untuk membina benteng penahan runtuhan bagi mengelak kejadian itu berulang.

“Bagaimanapun, tadi (semalam) berlaku satu lagi runtuhan lebih besar daripada yang sebelumnya, malah menyebabkan benteng itu runtuh sama,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati runtuhan itu berpunca daripada hujan lebat dan berlaku pergerakan tanah menyebabkannya runtuh serta menimbus tiga kereta dan sebuah motosikal.

"Kerugian dianggarkan kira-kira RM70,000 namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Berikutan kejadian itu, beliau mengarahkan 11 keluarga membabitkan 50 orang di tingkat bawah flet berkenaan yang terletak hanya lima meter dari tebing bukit setinggi 10 meter berpindah sehingga siasatan mengenai struktur tanah kawasan itu selesai.

Pemilik dua kenderaan yang tertimbus dalam kejadian itu, B Ravindran, 42, berkata beliau amat terkejut apabila dihubungi isterinya memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Sebaik pulang, saya sangat kecewa kerana melihat dua kereta saya musnah ditimbus tanah.

“Lebih mengecewakan, kontraktor sebelum ini memberi jaminan benteng penahan yang dibina Jun lalu, kukuh dan mampu bertahan lebih 30 tahun... ini baru tiga bulan sudah runtuh,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk rumah pangsa berkenaan, Siti Alia Abdullah, 33, memberitahu beliau tergamam melihat tanah berhampiran rumahnya jatuh sedikit demi sedikit sebelum menghempap beberapa kereta jiran.

"Saya lihat dekat tingkap, nampak tanah jatuh sikit-sikit, lalu menghempap kereta jiran. Saya tergamam tak terkata lalu keluar rumah dan menjerit memanggil jiran di tingkat atas," katanya.

Tiada ulasan: