Jumaat, 13 November 2009

Susun aktiviti atasi ponteng - TPM

Oleh OPAT RATTANACHOT dan MOHD. SHARIZA ABDULLAH


YAN - Lebih banyak program kokurikulum akan disusun bagi mengisi masa lapang pelajar sekali gus mengatasi peningkatan kes ponteng menjelang penghujung musim persekolahan.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, amalan ponteng tidak sepatutnya berlaku kerana sesi persekolahan masih berjalan biarpun sebahagian besar pelajar sudah tamat peperiksaan.

Katanya, para pelajar mungkin berasa bosan selepas tamat peperiksaan sedangkan persekolahan masih berjalan.

''Kementerian memandang berat dan mengambil perhatian perkara tersebut. Bagi mengelak pelajar merasa bosan, sekolah perlu mengatur lebih banyak aktiviti jika tidak ia akan merugikan pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Gerak Mesra 1Malaysia: BN Menang Kedah Senang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, Titi Serong di sini hari ini.

Akhbar hari ini menyiarkan laporan 178 pelajar ditahan dalam Operasi Ponteng Ayuh Ke Sekolah! di sekitar Sri Rampai, Keramat dan Wangsa Maju.

Antara alasan yang diberikan pelajar adalah bosan berada dalam kelas.

Muhyiddin berkata, penyertaan dan kerjasama semua pihak diperlukan bagi menangani masalah berkenaan daripada terus berleluasa.

Katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan mereka benar-benar ke sekolah biarpun sudah berpakaian seragam.

''Di kawasan sekolah mereka adalah di bawah tanggungjawab guru manakala di luar mereka di bawah jagaan ibu bapa.

''Ibu bapa sangka anak mereka pergi ke sekolah kerana mengenakan uniform tetapi sebaliknya berlaku mereka melencong ke tempat lain," kata beliau.

Tiada ulasan: