Ahad, 22 November 2009

SPRM perlu buktikan kredibiliti

Oleh Kamal Hashim

Media cetak pro-kerajaan dipenuhi dengan laporan-laporan tentang rasa tidak puas hati kalangan pemimpin kerajaan dan agensi-agensi berkaitan tentang masa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).Ini ekoran tiindakan mahkamah menghadkan masa siasatan SPRM kepada waktu pejabat yang telah mencetuskan bermacam-macam reaksi.

Pihak kerajaan Umno dan Barisan Nasional bangkit marah terhadap keputusan mahkamah itu, walaupun mereka juga berkata keputusan mahkamah perlu dihormati.

Tindakan ini yang tercetus akibat kematian Teoh Beng Hock selepas disiasat sehingga awal pagi oleh SPRM di Shah Alam.

Apa yang dikesalkan sebenarnya ialah persepsi ramai melihat SPRM digunakan untuk mencari kesalahan wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Adakah pemimpin-pemimpin seperti Datuk Seri Khir Toyo disiasat oleh SPRM? Sekiranya disiasat, adakah akan disiasat seperti Teoh hingga ke awal pagi?

Malah pemimpin BN juga cuba membuktikan SPRM tidak berpihak apabila turut menahan ahli Umno.

Masalahnya, tidak ada pemimpin Umno yang setaraf dengan pemimpin Pakatan Rakyat disiasat SPRM.

Sedangkan pada masa yang sama, SPRM segera menyiasat menantu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang didakwa melakukan penyelewengan.

SPRM telah menunjukkan sikap memilih dalam menentukan siapa yang patut disiasat, dan inilah yang menjadikan SPRM tidak dihormati oleh rakyat.

Tidak ada yang menentang usaha memerangi rasuah yang dilakukan oleh SPRM, tetapi usaha ini perlulah dilakukan dengan jujur dan bebas.

Institusi pencegahan rasuah sebelum SPRM, Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada satu masa dahulu pernah dihormati oleh pemimpin-pemimpin kerajaan.

Malangnya ini semua tidak berlaku lagi akibat BPR dan kini SPRM tidak menunjukkan kredibiliti lagi.

Indeks persepsi rasuah Malaysia yang kian merosot juga memberi gambaran prestasi SPRM yang ditugaskan membanteras rasuah.

SPRM bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Malaysia untuk membanteras rasuah yang merosakkan banyak aspek kehidupan.

Berbanding Pakatan, Umno dan BN lebih banyak berkuasa dalam membuat keputusan berkenaan banyak bidang, termasuklah projek pembangunan, ekonomi dan berkaitan kerajaan tempatan.

Oleh itu, Umno dan BN lebih banyak terdedah kepada peluang untuk melakukan rasuah berbanding dengan Pakatan.

Tetapi kenapa lebih banyak wakil-wakil Pakatan yang disiasat dan ini pula berlaku dalam masa yang singkat, selepas Pakatan menang besar dalam pilihan raya umum lepas.

SPRM hanya akan dihormati apabila badan itu bersedia untuk tidak lagi tertakluk kepada pengaruh kerajaan BN dan menjalankan tugas sebenarnya memerangi rasuah.

Tiada ulasan: