Jumaat, 6 November 2009

SPRM ambil keterangan saksi

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan suruhanjaya itu, keterangan tersebut berkait dengan elemen-elemen kesalahan rasuah seperti penerimaan dan pemberian rasuah, mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu dan salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut identiti saksi yang telah dipanggil oleh SPRM.

Suruhanjaya itu bagaimanapun berkata, perkembangan siasatan kes PKFZ tidak boleh didedahkan kepada umum pada peringkat ini kerana ia boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

"SPRM masih perlu mengambil lagi keterangan saksi-saksi dan akan menjalankan siasatan dengan teliti dan telus mengikut undang-undang tanpa melindungi mana-mana pihak," kata kenyataan itu yang dikeluarkan dalam laman web SPRM hari ini.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semalam mengesyorkan SPRM dan polis menyiasat penglibatan bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datin Paduka O.C. Phang yang mungkin disabitkan melakukan pecah amanah.

Laporan jawatankuasa itu dikeluarkan semalam mengenai skandal projek mega yang menimbulkan kontroversi apabila mencatatkan kenaikan kos projek yang tinggi iaitu daripada RM1.957 bilion kepada RM4.947 bilion setakat ini.

Tiada ulasan: