Khamis, 26 November 2009

Speaker terbuka keputusan tangguh pilihan raya

SINAR HARIAN ONLINE


ALOR SETAR - Speaker Dewan Undangan Negeri :(DUN) Kedah, Datuk Dr Abd Isa Ismail menerima dengan terbuka perintah penggantungan sementara Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh.

Beliau berkata, keputusan penggantungan yang dibuat semalam, ada rasionalnya kerana mahkamah telah memberi alasan yang munasabah.

“Keputusan itu ada rasionalnya, kerana mahkamah mengemukakan alasan yang munasabah. Kalau tidak, semua tangguh akan menyebabkan berlaku keputusan rayuan, tidak ada ertinya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak boleh berbuat apa-apa jika kes itu mengambil masa yang lama untuk diselesaikan kerana segalanya terletak dalam bidang kuasa mahkamah.

“Sehingga kini, Mahkamah Tinggi telah membuktikan saya berada di landasan yang benar tetapi saya tidak tahu bagaimana dengan keputusan Mahkamah Rayuan :pula,” katanya.

:Dr Abdul Isa mengulas keputusan Mahkamah Rayuan kelmarin, yang membenarkan SPR mendapatkan perintah penggantungan sementara terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh.

Perintah itu dikeluarkan sementara menunggu penyelesaian kes rayuan SPR terhadap keputusan Mahkamah Tinggi 16 November lalu, yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan pilihan raya kecil perlu diadakan.

Berikutan keputusan itu, SPR tidak akan mengeluarkan writ pilihan raya bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian dalam masa terdekat ini.

“Saya tidak boleh buat apa-apa jika kes ini mengambil masa yang lama untuk diselesaikan kerana segala keputusan terletak dalam bidang kuasa mahkamah. Namun saya tetap berpegang kepada keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, yang secara rasmi memutuskan memang berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh,” katanya.

Dr Abdul Isa berkata, beliau mahu kes ini diselesaikan segera dan mahu kebenaran ditegakkan selain keputusan dibuat dengan lebih adil.

“Ini bukan soal balas dendam atau sebagainya, ini berkait dengan keadilan dan kebenaran. Masing-masing mempunyai pandangan masing-masing. Yang penting, kes ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana penduduk di kawasan itu memerlukan seorang wakil rakyat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak juga menerima penggantungan sementara itu dan Kerajaan Negeri juga menerimanya dengan terbuka tanpa bantahan.

Beliau berkata, sekiranya pilihan raya kecil diadakan nanti, Pas akan bersedia bertanding dengan siapa pun calon yang akan diletakkan Barisan Nasional (BN).

Tiada ulasan: