Rabu, 18 November 2009

Skim baucar RM5,000 Proton, Perodua tamat

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Sebanyak 31,046 baucar diskaun masing-masing bernilai RM5,000 dikeluarkan Proton dan Perodua di bawah skim pelupusan kereta mulai 10 Mac hingga 1 November lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung berkata, skim usaha sama antara kerajaan dan dua syarikat automotif negara itu membolehkan pemilik sebarang jenama kereta yang ingin melupuskan kereta mereka yang berusia 10 tahun atau lebih menerima baucar diskaun bernilai RM5,000 untuk membeli kereta baru jenama Proton atau Perodua.

“Skim ini berbentuk sukarela dan didapati memanfaatkan semua pihak kerana ia membantu merangsang penjualan kereta dan menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.

“Buat masa ini skim ini telah pun tamat iaitu segala peruntukan yang disediakan kerajaan telah habis digunakan, kita juga tidak merancang untuk melanjutkan skim ini,” katanya menjawab soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) mengenai perkembangan skim itu setakat ini.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Chee Heung berkata, kerajaan tidak bercadang menubuhkan sebuah badan khusus bagi menguruskan tabung amanah saham yang dibuka untuk semua kaum dan mengehadkan pengurusan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada amanah saham golongan Bumiputera sahaja.

“PNB masih mampu untuk mengendalikan tabung amanah yang ada di negara ini dan setakat ini PNB telah mengeluarkan sembilan jenis tabung amanah, iaitu empat daripada tabung amanah itu khusus untuk golongan Bumiputera melabur," katanya. -

Tiada ulasan: