Khamis, 26 November 2009

Siasatan SPRM 90 peratus siap

Oleh Norizan Abdul Muhid


ALOR GAJAH - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memaklumkan, siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa menantu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

Pengarah Siasatannya, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, proses siasatan membabitkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman itu kini sudah mencapai 90 peratus.

Menurut beliau, sebaik sahaja siap nanti, kertas siasatan tersebut akan diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan SPRM untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

"Walaupun beliau (Abdul Ariffahmi) sudah letak jawatan, kami akan tetap meneruskan siasatan kes ini dan SPRM tidak akan hentikan siasatan.

"Kita perlu siasat kes ini sampai habis dan serahkan kertas siasatan kepada pendakwaraya untuk buat keputusan sama ada untuk mendakwa beliau atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis tamat latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 1/2009 (Penolong Penguasa) yang disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan di sini hari ini.

Mohd. Shukri ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan SPRM atas dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam PMBK.

Mengulas lanjut, kata beliau, keputusan pendakwaan terhadap Abdul Ariffahmi hanya akan diputuskan oleh pendakwaraya selepas pihaknya menyerahkan kertas siasatan kes tersebut.

"Dakwa atau tidak, terpulang kepada Bahagian Pendakwaan, SPRM hanya menjalankan siasatan dan mengumpul bukti serta dokumen kes manakala yang lain terpulang kepada mereka untuk menentukannya," kata beliau lagi.

Menurut Mohd. Shukri, sepanjang siasatan kes itu, pihaknya mendapat kerjasama yang baik daripada Abdul Ariffahmi.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd. Shukri memberitahu, pihaknya telah mengedarkan notis pemberitahuan kepada semua pejabat SPRM di seluruh negara agar mematuhi keputusan mahkamah yang hanya membenarkan saksi kes rasuah disiasat mengikut waktu pejabat.

Ujarnya, surat tersebut telah diedarkan pada 4 November lalu.

Katanya, keputusan tersebut perlu dipatuhi oleh semua kakitangan dan pegawai SPRM bagi mengelak mereka melanggar perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah.

Beliau berkata, SPRM mengakui arahan tersebut menjejaskan kelancaran kerja-kerja penyiasatan melibatkan soal siasat saksi yang terpaksa dilakukan di waktu pejabat.

Tiada ulasan: