Ahad, 22 November 2009

Serah Kepada Peguam Negara Saman Jambatan Runtuh

BERNAMA


BANDUNG (Indonesia): Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk meneliti kes saman RM105 juta oleh tiga bapa kepada tiga murid yang mati lemas dalam tragedi jambatan runtuh di Kuala Dipang, Perak, 26 Oktober lepas.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau belum mendapat maklumat terperinci mengenai kes saman itu tetapi kerana sudah ada kes, maka kerajaan akan mendapatkan nasihat Peguam Negara.

"Saya belum dapat butir-butir kenapa mereka saman tetapi kerana dah ada kes, kita dapatkan nasihat Peguam Negara yang akan menelitinya daripada semua sudut," katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan para pemimpin Kelab Umno seluruh Indonesia di sini, semalam.

"Memang tak dijangka. Itu malapetaka yang tak kita duga. Walau apa pun saya tak nak komen banyak kerana kenyataan saya mungkin boleh digunakan pihak tertentu," katanya.

Tanpa ingin mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata biarlah kes itu dilihat daripada segi undang-undang negara.

Tiga bapa kepada tiga murid yang meninggal dunia dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di Kampar pada 26 Oktober lepas pada Jumaat, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, Ipoh, Perak bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan.

Dalam saman itu, K.Mageswaran, K.Vasudevan dan T. Nathan menamakan sebagai defendan, guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, guru besar SJKT Gopeng; Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan; Pengarah Pelajaran Negeri Perak; Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komanden Kem 1Malaysia Kuala Dipang.

Pihak yang lain yang disaman ialah penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn Bhd, syarikat kontraktor CWL Enterprise, Menteri Pelajaran dan kerajaan Malaysia.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan A.Sivanesan & Co pagi semalam di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak.

Tiada ulasan: