Jumaat, 6 November 2009

Semua ahli Lembaga Disiplin MCA letak jawatan serentak

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Lima anggota Lembaga Disiplin MCA yang diketuai oleh veteran parti Ng Cheng Kiat hari ini telah meletak jawatan secara serentak, menurut salah seorang ahli lembaga Dr Lai Kuan Fook.

Dr Lai bersama Ng, Datuk Jimmy Low Boon Hong, Datuk Ng Soon Por dan Lau Chih Siang telah mengemukakan surat peletakan jawatan masing-masing kepada pejabat Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng di Wisma MCA di sini tengah hari semalam.

Ketika dihubungi, Wong berkata beliau belum melihat surat peletakan jawatan itu kerana beliau tidak berada di ibu pejabat parti itu hari ini.

"Saya belum pergi lagi ke ibu pejabat kerana sepanjang hari saya berada di pejabat saya di bangunan Parlimen. Mereka mungkin menghantar surat itu ke pejabat setiausaha agung...saya tidak pasti," katanya.

Adalah difahamkan keputusan meletak jawatan secara serentak itu dicapai semasa mesyuarat lembaga itu bulan lepas tetapi surat rasmi hanya dikemukakan kepada setiausaha agung semalam.

Adalah dipercayai ahli lembaga mengambil keputusan itu selepas syor mereka untuk memecat timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek akhirnya ditolak oleh perwakilan parti semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Okt lepas.

Pada Ogos lalu, lembaga itu telah secara sebulat suara mengesyorkan supaya Dr Chua dipecat dari parti berikutan skandal sex videonya.

Syor Lembaga Disiplin itu pada awalnya diterima secara kolektif oleh Majlis Presiden tetapi ditolak oleh Jawatankuasa Pusat (CC) MCA yang memutuskan untuk mengenakan hukuman penggantungan selama empat tahun terhadap Dr Chua.

Semasa mesyuarat EGM 10 Okt itu, perwakilan parti sekali lagi menolak keputusan itu dengan mengembalikan keahlian Dr Chua dengan serta-merta manakala menolak usul mengekalkannya sebagai timbalan presiden parti.

Bagaimanapun, Selasa lepas, Dr Chua menerima surat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROs) yang mengesahkan beliau masih menjadi timbalan presiden.

Tiada ulasan: