Ahad, 8 November 2009

Seminar politik PAS: Pintu UG dikunci ketat

Lim Hong Siang



"...PAS wajar segera menegaskan kepada semua peringkat, kepada ahli-ahli, pimpinan tertinggi, sehingga ke akar umbi, bahawa, telah dikunci dengan ketat segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda Kerajaan Perpaduan...", Resolusi Seminar Memperkasakan Parti.

"Tak mungkin dibangkitkan lagi kerana kita dah tutup. Ini pendirian PAS, pendirian Pakatan Rakyat," kata Abdul Hadi Awang, selaku Presiden PAS ketika menjawab soalan tindakan yang akan diambil terhadap pemimpin yang membangkitkan isu Kerajaan Perpaduan pada masa depan.

Demikianlah kesudahannya, apabila Seminar Memperkasakan Parti melabuh tirai selepas lebih lapan jam persidangan kira-kira 1,500 perwakilan di Markas Tabbiyah Pusat Taman Melewar, Kuala Lumpur pada hari ini. Resolusi yang dirangka selepas melalui sesi percambahan minda, dialog dan perbahasan ucaptama Presiden ini, mungkin tidak bertaring, namun tetap memihak kepada "pro-Pakatan".

Muktamar menjadi seminar

Walaupun hanya sempat mengikuti Ucaptama Presiden, Abdul Hadi Awang yang bertajuk "Memperkasa Peranan PAS Dalam Memperkukuhkan Pakatan Rakyat Mendepani Cabaran PRU 13", dan terpaksa meninggalkan dewan kerana terganggu dengan masalah kesihatan, Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimanapun mungkin akan tersenyum dengan kesudahan sedemikian.

Nik Aziz membuat kejutan apabila menuntut secara terbuka agar Muktamar Khas diadakan untuk "menyelesaikan" beberapa orang pemimpin yang bermasalah dalam parti. Walau bagaimanapun, beliau akhirnya berganjak langkah dan memberi laluan kepada "Seminar Politik", sebagai gantian kepada Muktamar Khas.

Pendekatan Nik Aziz yang meluahkan ketidakpuasan dalam blog beliau sememangnya mengundang pertikaian. Sementara ada yang menegur saluran yang digunakan oleh Mursyidul Am ini, ada juga perwakilan yang membangkitkan kemungkinan teguran beliau melalui saluran dalaman tidak didengar sebelum ini.

Kehadiran pakar perlembagaan, Abdul Aziz Bari dan ahli akademik Abu Hassan Hasbullah (gambar kanan) dalam sesi Percambahan Minda, yang diberikan ruang untuk mengkritik secara terbuka pimpinan Abdul Hadi Awang di khalayak ramai, amat menguji keterbukaan dan kesabaran Presiden terhadap pandangan yang berbeza.

Abdul Aziz Bari yang sebelum ini melontarkan kritikan pedas terhadap Hadi Awang, termasuk "hilang stim", "Pak Lah versi PAS", menjadi sasaran perwakilan PAS. Untuk tempoh yang agak panjang, pertikaian berlegar antara "kritikan", "tohmahan" dan "fitnah". Akhirnya, Abu Hassan Hasbullah berjaya mengubah minda perwakilan, apabila mempertahankan rakan panelnya dengan membuktikan bagaimana "persepsi" boleh bertukar menjadi "informasi".

"Tumpuannya bukan Prof.Aziz Bari!"

Sesetengah perwakilan yang pantang pimpinan mereka dikritik, bangkit menuntut agar Aziz Bari mendedahkan sumber maklumat kononnya "Hadi Awang membawa PAS memasuki UMNO". Malah, mereka mendakwa tuduhan Aziz Bari berdasarkan "persepsi", dan menuntut agar beliau menarik balik tuduhan tersebut jikalau gagal membuktikan kebenarannya.

Sebaliknya, terdapat pula sebahagian perwakilan yang tidak berpuas hati dengan Aziz Bari yang jelas berlapik, dan mengelakkan diri untuk mengulas dengan lebih lanjut kritikan tajamnya terhadap Hadi Awang.

Misalnya ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, mengasak Aziz Bari (gambar kiri) yang sekadar menyebut "memekik-pekik bersama Pakatan Rakyat, tetapi apa yang dilakukan lain", untuk menjelaskan maksud "apa yang dilakukan lain" itu. Aziz Bari kemudian merujuk kepada isu SELESA dan SELCAT di Selangor, walaupun tanpa menyebut nama Hasan Ali (Pesuruhjaya PAS Selangor merangkap EXCO), tetapi menuduh sikap "cakap lain buat lain" ini memberi modal kepada musuh untuk menunjukkan bahawa PR gagal mentadbir.

Perbincangan menyentuh isu pokoknya, apabila Aiman Athirah Al-Jundi dari Dewan Muslimat bangkit berkata, "tumpuan Seminar Memperkasakan Parti ini saya kira bukan Profesor Aziz Bari. Kalau kita fikir Profesor Aziz Bari itu sudah silap. Tumpuan kita yang utama bersusur-galur daripada Unity Government... yang dilontarkan begitu sahaja, dan ditutup begitu sahaja tanpa apa-apa taklimat kepada kita...."

"Bila dilontarkan begitu sahaja dan tidak dijelaskan secara... bertanggungjawab, oleh sesiapa sahaja, dan dibincangkan secara bertanggungjawab di peringkat sepatutnya, maka benda tu berderet sehinggalah sampai seminar hari ini," sambung Aiman Athirah.

Hilang fokus

Walau bagaimanapun, sesi perbahasan ucaptama Presiden memperlihatkan bagaimana seminar yang tidak dijadualkan dengan usul yang tetap dan jelas sebermulanya, kehilangan fokus dalam perbahasan seterusnya.

Perbahasan perwakilan jarang menyentuh "halatuju PAS" pada masa depan, tetapi lebih dari perspektif perbalahan antara dua orang ulama dalam parti. Maka, pertikaian wujud terhadap tindakan Nik Aziz Nik Mat yang meluahkan ketidakpuasan melalui blog (oleh perwakilan Selangor), siapakah yang mempunyai autoriti sebenarnya antara Presiden parti dan Mursyidul Am (oleh perwakilan Negeri Sembilan)?

Antara yang menyentuh isu "rakan sekutu politik" adalah seperti perwakilan Wilayah Persekutuan yang menyanggah hujah "PAS sebagai liabiliti PR", dengan merujuk kepada isu DAP Kedah yang juga keluar daripada PR (DAP menarik balik akhirnya); perwakilan Negeri Sembilan yang mahu hubungan dengan PR dikekalkan, tetapi dengan pindaan, memandangkan perjuangan hak Melayu-Islam terhalang, misalnya di Selangor...

Perwakilan Johor pula menyentuh insiden pertemuan sulit PAS-UMNO, yang dinafikan sehingga pengesahan bekas PM Abdullah Ahmad Badawi; insiden lontaran gagasan besar, seperti UG tanpa difahami isi kandungannya, dan ditarik brek akhirnya; insiden pucuk pimpinan membiarkan kemelut di Selangor berlanjutan kira-kira enam bulan tanpa diselesaikan dan akhirnya, insiden respon kepada Nik Aziz yang melemparkan tuduhan dalam blog peribadinya.

Malah, perwakilan Johor ini menyeru agar kedua-dua Nik Aziz dan Hadi Awang tidak berbalah secara terbuka, kerana ahli PAS di akar umbi menghadapi kesukaran untuk menjawab sindiran orang lain.

Apa yang dikongsi bersama?

Apabila isu pokok "pilihan antara PR dengan BN", tidak dinyatakan dengan jelas, malah lebih dilihat sebagai "antara Nik Aziz dengan Hadi Awang", maka kedua-dua pihak agak sukar untuk meramal kecenderungan perwakilan yang sebenarnya. Antara yang membela Hadi, menjelaskan "masuk UMNO" adalah fitnah semata-mata, mengandaikan UMNO sebagai musuh yang jahat.

Perwakilan yang mempertahankan Hadi tidak semestinya inginkan kerjasama dengan UMNO-BN, tetapi tidak sanggup melihat Hadi dituduh berbuat demikian. Dengan kata lain, walaupun mungkin ramai yang mempertahankan pimpinan Hadi dan pasukannya, namun tidak bermakna bahawa mereka inginkan kerjasama PAS dengan UMNO-BN.

Justeru itu, apabila Resolusi yang berbunyi "...dikunci dengan ketat segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda Kerajaan Perpaduan" dibacakan, perwakilan terpaksa bangun dan menyahut untuk menyetujuinya, walaupun mungkin masih teragak-agak apakah resolusi sedemikian pro-Hadi?

Walau bagaimanapun, resolusi tersebut telah diluluskan lebih daripada 1000 perwakilan pada akhir seminar. Malah, Hadi Awang dalam penggulungannya perlu menegaskan pendirian PAS untuk bersama PR, dan terpaksa mengulangi ketegasan "mustahil isu kerajaan perpaduan berbangkit kelak" dalam sidang medianya.

Oleh itu, walaupun belum adanya tindakan konkrit terhadap pemimpin yang mengujar "Kerajaan Perpaduan", atau mengacau-bilaukan PR sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan, namun Nik Aziz sekurang-kurangnya berjaya mendesak agar Hadi Awang dan anak buahnya untuk mengulangi janji "tutup pintu Kerajaan Perpaduan".

Resolusi yang diluluskan perwakilan telah mengunci pintu rundingan bersama UMNO dengan ketat. Isyaratnya mudah difahami-- walaupun pintu tetap boleh dipecahkan, tetapi sudah pastinya, amanah akan terpecah dahulu sebelum pintu rundingan Kerajaan Perpaduan ditembusi. Sebagai seorang pemimpin parti Islam, apakah Hadi Awang sanggup pecah amanahnya?

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Tiada ulasan: