Rabu, 18 November 2009

Selangor sedia beri elaun kepada Anwar

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Kerajaan Selangor bersedia untuk memberikan kemudahan termasuk elaun kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penasihat ekonomi negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berpendapat Anwar layak menerima kemudahan seperti pejabat dan kenderaan termasuk elaun mesyuarat selaku pemegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kemudahan berkenaan hanya akan diberikan jika Penasihat PKR itu bersetuju untuk menerimanya.

''Saya pernah jadi penasihat kepada sebuah bank Islam antarabangsa dan kemudahan seperti pejabat, kenderaan adalah biasa termasuk elaun mesyuarat yang dikenali sebagai 'di luar poket' (kemudahan yang diterima selain gaji).

''Dalam soal Anwar ini, jika beliau setuju, kita akan beri dan jika beliau tak setuju, kita tak berilah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pelantikan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta pada 13 November lalu dengan bayaran gaji RM1.

Pelantikan tersebut dibuat kerana Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dikatakan mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan dan ekonomi termasuk pernah memegang beberapa jawatan penting dalam institusi berkaitan bidang itu.

Bagaimanapun, pelantikan itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Dr. Mahathir, pelantikan Anwar akan mengundang implikasi negatif terhadap ekonomi Selangor termasuk kemungkinan negeri itu berhadapan risiko muflis.

Tiada ulasan: