Ahad, 8 November 2009

Selangor Kemuka Rancangan Pembangunan Serentak 5 PBT

SELANGOR KINI


AMPANG JAYA - Dalam usaha merancang pembangunan masa hadapan, pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan negeri bagi memastikan kemajuan yang direncana tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat dan alam sekitar.

Justeru, pembabitan orang awam dalam merangka corak pembangunan perlu bagi memastikan perancangan bandar memenuhi aspirasi masyarakat.

Penyediaan lima Draf Rancangan Tempatan membabitkan lima pihak berkuasa tempatan - Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Daerah Kuala Langat, dan Majlis Daerah Hulu Selangor.

“Rancangan tempatan merupakan suatu dokumen perancangan yang menyatakan semua cadangan pembangunan guna tanah dan fizikal secara terperinci mengikut lot tanah bagi seluruh kawasan RT yang terlibat.

“Rancangan tempatan ini merupakan dokumen yang digunakan untuk menterjemah serta memperinci dasar dan strategi Rancangan Struktur Negeri selangor ke dalam bentuk cadangan pembangunan dan projek. RT menjadi alat untuk membuat keputusan terhadap permohonan kebenaran merancang oleh Pihak Berkuasa Perancang Tempatan”, katanya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berucap merasmikan “Program Publisiti & Penyertaan Awam 5 Draf Rancangan Tempatan” di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya baru-baru ini.

Rukun utama dasar ini adalah pembangunan memberi kesan kepada kehidupan masyarakat setempat.

Selaku orang awam, anda berhak mengemukakan pendapat dan bantahan terhadap rancangan yang disediakan melalui Program Publisiti dan Penyertaan Awam - lantas membantu Pihak Berkuasa Tempatan menggubal cadangan pembangunan selaras kehendak masyarakat.

“Sekarang tibalah masanya bagi pihak-pihak berkepentingan seperti wakil rakyat, ahli majlis, Jawatankuasa Persatuan Penduduk, Rukun Tetangga, Badan-badan Bukan Kerajaan, pemilik-pemilik tanah dan penduduk sama ada secara langsung atau secara tidak langsung melihat draf tersebut dan mengemukakan pandangan”, ujarnya.

Membabitkan lima kawasan PBT, ia seumpama sebuah koridor ekonomi. Namun strategi pembangunan kerajaan negeri fokus kepada memaksikan kepenggunaan tanah menuju pencapaian pembangunan lestari.
Konsep pembangunan terkawal dicadangkan untuk mengimbangi pembangunan fizikal, ekonomi dan lebih utama, pembangunan sosial.

Selangor sudah mewartakan 15 Rancangan Pemajuan yang terdiri daripada satu Rancangan Struktur Negeri, 13 Rancangan tempatan dan satu Rancangan Kawasan Khas.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sudah pun mewartakan 15 Rancangan Pemajuan yang terdiri daripada Rancangan Struktur Selangor 2020, 13 Rancangan Tempatan dan satu Rancangan Kawasan Khas”, jelasnya.

Tiada ulasan: