Khamis, 5 November 2009

Saya saman demi hak: Asri

Oleh Haspaizi Mohd Zain


KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa belum ada mana-mana pihak yang memfitnahnya tampil bersemuka dengannya dan memberi penjelasan terhadap tuduhan yang dilemparkan.

Mohd Asri berkata, beliau sudah memberi ruang yang secukupnya kepada pihak berkenaan supaya bersemuka dengannya, sebelum bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan berjumpa dengan peguamnya untuk mengemukakan saman terhadap Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zain Al Ghari dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

“Tindakan undang-undang bukan untuk membersihkan diri saya, tetapi memperjuangkan hak. Jika orang macam saya ini pun boleh ditahan dan ditangkap sebegini rupa, macam mana pula dengan orang lain.

“Saya juga yakin ramai rakyat Malaysia tidak setuju dengan cara tahanan yang dikenakan terhadap saya. Puluhan peguam menasihati saya supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap perkara ini.

“Malam ini (semalam) saya akan berjumpa dengan peguam dan saya serahkan kepadanya untuk tindakan lanjut, sama ada mahu menyuruh pihak yang memfitnah saya mengemukakan permohonan maaf secara terbuka atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, saman terhadap PGSM berikutan fitnah yang dilemparkan persatuan itu terhadapnya menuduh beliau tidak mengiktiraf iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah, mencerca solat hajat dan menolak hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari.

Beliau berkata, saman terhadap Zamihan pula disebabkan satu kenyataan Penolong Pengarah ILIM yang dikatakan cuba memfitnahnya dengan mendakwa beliau memalsukan lulusan syariah.

Mengulas mengenai kenyataan PGSM yang sedia bersemuka dengannya bagi membincangkan perkara itu, Mohd Asri berkata beliau sudah memberi ruang secukupnya untuk persatuan itu.

“Kenapa mereka (PGSM) tidak berunding dulu dengan saya sebelum mereka memfitnah di saya dalam blog. Saya sudah berikan masa, tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan daripada persatuan itu.

“Saya mahu tahu juga penjelasan daripada mereka, mengapa memfitnah saya mencerca solat hajat, menolak hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari, selain menuduh saya mencerca ulama besar Imam Nawawi dan Imam Ghazali,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Jabatan Agama Islam (Jais) yang mendakwa penahanan dilakukan terhadapnya bukan secara semberono, beliau menyifatkan tindakan terbabit seperti menahan seorang pengganas.

“Jika bukan secara semberono, mengapa ketika hendak tahan saya Jais membawa anggota polis, puluhan anggota penguat kuasa seperti mahu menangkap seorang pengganas,” katanya.

Tiada ulasan: