Khamis, 5 November 2009

"Saya bukan dalang singkir Tee Keat"

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong menolak dakwaan sesetengah pihak yang menuduhnya sebagai dalang untuk menjatuhkan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat pada pemilihan parti tersebut baru-baru ini.

Menurutnya, ia adalah satu tuduhan yang keterlaluan dan tidak adil kerana setiap pemimpin harus mempunyai tanggungjawab untuk memulihkan integriti parti masing-masing sebagai keutamaan, walaupun berbeza pandangan.

“Biarlah mereka buat tohmahan kerana taktik mereka ini hanyalah untuk membuat keadaan jadi kelam-kabut. Tidak mungkin pemimpin di Malaysia tiada pandangan tersendiri sehingga saya dituduh sebagai dalang untuk menjatuhkan Presiden,' katanya kepada media di lobi Parlimen semalam.

Ka Siong berkata, pihak tidak bertanggungjawab ingin mengambil kesempatan dalam krisis yang melanda kepimpinan MCA ini untuk kepentingan mereka sendiri.

“Saya tidak tuju kepada sesiapa, tetapi saya tidak tahu kenapa saya dituduh sedangkan saya hanya mempertahankan diri. Ini adalah taktik yang amat kotor.

“Apa yang benar, kita kena cakap ia benar, apa yang salah, kita kata salah. Itu tuntutan Tuhan,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Tan Sri Robert Phang yang menuduhnya terlibat mengatur penerbangan ‘jet persendirian’ yang dinaiki Ong dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), Wee tuduhan tidak berasas.

Menurutnya, tuduhan melibatkan beliau dengan salah satu syarikat yang memajukan PKFZ adalah tindakan yang tidak sewajarnya berlaku kerana ia dibuat oleh individu yang berada di luar parti.

“Saya tahu beliau (Phang) mahu menyokong Presiden, tapi beliau tidak sepatutnya membuat tohmahan seperti itu. Tuduhan seperti saya yang atur jet persendirian itu bukan hal saya, Kalau tidak percaya tanyalah individu yang berada di situ,” katanya.

Ka Siong , yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, berkata Phang harus menjadi perwakilan parti sekiranya beliau hendak mengkritik pemimpin-pemimpin MCA.

“Apa kena mengena orang luar parti mahu mengkritik saya begitu sekali. Muslihat memang jelas. Saya tidak mahu isu parti menjadi topik perbincangan orang luar. Kalau mahu jadi perwakilan sila masuk bertanding. Itu hak masing-masing, tetapi jangan sampai buat tohmahan,” katanya.

Tiada ulasan: