Khamis, 5 November 2009

ROS sedia hadapi cabaran Liow di mahkamah

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Pendaftar Pertubuhan (ROS) sedia ke mahkamah jika Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai mahu mencabar keputusannya mengembalikan semula kedudukan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai Timbalan Presiden.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ini kerana ROS membuat keputusan itu berdasarkan tiga penetapan iaitu undang-undang negara, Akta Pertubuhan 1996 dan Perlembagaan MCA.

“Keputusan diambil selepas ROS mengambil kira semua perkara dan melakukan kajian yang teliti dan kita bersedia untuk berdepan di mahkamah.

"Saya cukup yakin sekiranya perkara ini dibawa ke mahkamah, kita di pihak kementerian dan ROS sentiasa akan memperjelas dan mempertahankan apa yang diputuskan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Kelmarin, ROS memutuskan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dipecat dari jawatan Timbalan Presiden MCA pada Ogos lalu, masih memegang jawatan berkenaan.

Liow dilantik sebagai Timbalan Presiden MCA oleh Jawatankuasa Pusat (CC) pada 15 Oktober lalu, pula mendakwa keputusan ROS melanggar Perlembagaan MCA.

Bagaimanapun, mesyuarat CC lebih lima jam di Wisma MCA meluluskan usul menerima keputusan ROS dan Liow kembali menjadi Naib Presiden.

Sementara itu, di BUTTERWORTH usaha Datuk Seri Liow Tiong Lai menuntut kembali jawatan Timbalan Presiden MCA yang 'dilucutkan' kelmarin, menerima tamparan apabila MCA Pulau Pinang yang dipengerusikannya membantah tindakannya itu.

MCA negeri beranggapan, tindakan Liow untuk mencabar keputusan ROS yang memutuskan Dr Chua sebagai Timbalan Presiden MCA sebagai kurang bijak kerana ia bakal memberi imej negatif terhadap parti dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan MCA Pulau Pinang, Eng Hiap Boon, berkata Liow seharusnya menerima keputusan ROS bagi mengelakkan kemelut kepemimpinan parti itu terus berpanjangan.

Katanya, ia juga bagi mengelak parti itu hancur sehingga memberi kesan kepada peluang BN memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Beliau tidak rugi apa-apa jika menerima keputusan itu kerana masih memegang jawatan Naib Presiden MCA. Janganlah hanya kerana kepentingan diri sendiri, beliau sanggup melihat MCA berpecah-belah dan menyebabkan rakyat tidak yakin seterusnya menolak BN pada masa depan.

"Fikirkan mengenai masa depan dan yang paling penting pada masa ini adalah kekuatan BN untuk menempuh cabaran pada Pilihan Raya Umum Ke-13, bukannya kepentingan diri semata-mata," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan Liow yang mahu mencabar keputusan ROS yang memutuskan Dr Chua yang dipecat Majlis Presiden MCA pada Ogos lalu, sebagai Timbalan Presiden MCA yang sah.

Kelmarin, Liow yang juga Menteri Kesihatan, yang dilantik sebagai Timbalan Presiden oleh Jawatankuasa Pusat (CC) pada 15 Oktober lalu, mendakwa keputusan ROS melanggar Perlembagaan MCA.

Beliau mendakwa, pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pada 10 Oktober lalu, perwakilan tidak menerima usul mengembalikan jawatan Timbalan Presiden kepada Dr Chua dan CC pula melaksanakan resolusi yang diluluskan dalam EGM itu.

Pada 15 Oktober lalu, CC mengisytiharkan kerusi itu kosong.

Tiada ulasan: