Rabu, 25 November 2009

Rombakan Kepimpinan Pemuda PAS Sabah?

oleh : Abu Asma (dppsabah)


Kota Kinabalu: Desas-desus bertiup kencang menyatakan bahawa Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) salah satu sayap PAS di Sabah akan mengalami rombakan kepimpinan setelah berlaku kekosongan jawatan Timbalan Ketua Pemuda. Jawatan tersebut dilaporkan kosong apabila penyandangnya selama 3 penggal, Ust Hafiz Ubaidillah telah berpindah meninggalkan negeri ini atas urusan kerjaya.

Menurut sumber dalaman pemuda, Dewan Harian akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara ini dan akan mengambil ketetapan bagi melantik pemangku bagi jawatan no. 2 dalam kepimpinan pemuda tersebut. Hal ini akan dilakukan secepat yang mungkin bagi memastikan setiap agenda yang telah dirancang oleh pemuda dapat dilaksanakan dan dicapai sesuai dengan halatuju pemuda negeri iaitu “Perkasakan Pemuda, Teguhkan Pakatan”.

Antara nama-nama yang disebut bakal memangku jawatan tersebut ialah Darmansah (Naib Ketua Pemuda) dan Salman Amin (Ketua Penerangan). Walau bagaimanapun, menurut orang no.1 Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu perebutan jawatan bukanlah masalah di dalam PAS kerana sebagai Parti Islam setiap ahli tentunya cukup arif dan maklum betapa semakin besar jawatan seseorang maka semakin besarlah amanah yang dipikulnya dan semakin beratlah perhitungannya di hadapan Allah di akhirat nanti. Beliau juga menegaskan bahawa segalanya akan bergantung kepada hasil mesyuarat (Dewan Harian) yang akan diadakan nanti.

Dikesempatan itu juga, beliau mewakili seluruh anggota pemuda merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Ust Hafiz seorang Ulama Muda yang berwibawa atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan untuk menyuburkan Islam dan PAS di negeri ini.

Tiada ulasan: