Khamis, 26 November 2009

RM1.97b wang persaraan KWSP dikeluar

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.97 bilion dikeluarkan di bawah Pengeluaran Persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada suku ketiga tahun ini, meningkat daripada RM1.64 bilion pada suku sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol dalam kenyataan media semalam berkata daripada jumlah RM1.97 bilion itu, RM1.41 bilion dikeluarkan di bawah Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun, meningkat 14.22 peratus berbanding tahun lalu.

Baki RM557.05 juta dikeluarkan di bawah Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun KWSP berbanding RM403.51 juta tahun lalu, bertambah sebanyak 38.05 peratus, katanya.

“Ahli yang semakin cenderung memilih Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun membuktikan keyakinan mereka terhadap keupayaan KWSP membayar dividen ke atas simpanan mereka.

“Pada masa sama, ciri pengeluaran lebih fleksibel memudahkan ahli untuk menguruskan simpanan persaraan mereka dengan efektif," katanya.

Justeru, katanya, KWSP berharap jumlah itu akan berkurangan kelak dengan meningkatnya kesedaran di kalangan anggota bahawa pengeluaran secara sekali gus boleh menyebabkan ketidakcukupan pendapatan semasa persaraan.

Tiada ulasan: