Isnin, 30 November 2009

Pulau Pinang setuju bina landasan monorel

SINAR HARIAN ONLINE


GEORGETOWN - Kerajaan Negeri bersetuju membenarkan dua syarikat tempatan untuk membina landasan monorel sebagai uji pandu sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Timbalan Ketua Menteri 2, P Ramasamy berkata, kedua-dua syarikat itu akan membina landasan masing-masing sepanjang satu kilometer di atas tanah milik kerajaan sama ada di Nibong Tebal atau Batu Kawan untuk tujuan itu.

Beliau berkata, semua kos pembinaan landasan akan ditanggung oleh syarikat itu manakala Kerajaan Negeri tidak membuat sebarang perjanjian yang melibatkan sebarang kos atau peruntukan.

“Kerajaan Negeri tidak akan menjual sebarang tanah atau mengenakan bayaran kepada syarikat terlibat dengan uji pandu itu,” katanya pada sidang media di sini semalam tanpa mahu mendedahkan identiti syarikat berkenaan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri belum memutuskan sama ada akan menyediakan perkhidmatan monorel bersama syarikat berkenaan atau menjadikannya sebagai salah satu sistem pengangkutan di Pulau Pinang.

“Keputusan akan dibuat selepas melihat kesesuaian perkhidmatannya. Ini bukan projek monorel di Pulau Pinang. Maklumat lanjut mengenai hanya akan diberitahu apabila ada perjanjian rasmi kelak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap projek monorel akan menjadi tarikan kepada sektor pelancongan negeri serta meningkatkan ekonomi dengan pelaburan yang bakal dilakukan untuk pembinaan landasan itu kelak.

Selain meningkatkan ekonomi, ia juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini, terutama dengan wujudnya kilang membuat landasan kelak.

Sementara itu, Ramasamy memaklumkan menerima notis tindakan daripada Tang Hak Ju selepas beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khamis lalu mengenai pertikaian tanah Lot 954, 955 dan 956 di Seberang Perai Tengah.

“Notis ini menyatakan saya membuat fitnah terhadapnya berhubung penemuan maklumat tambahan yang diserahkan kepada SPRM. Saya diberi masa selama lima hari untuk menjawab,” katanya.

Sehubungan itu, Ramasamy bersedia dikenakan tindakan undang-undang sekiranya apa yang dilaporkannya itu tidak benar.

“Tujuan saya membuat laporan ini adalah untuk mengelakkan Kerajaan Negeri kerugian RM40 juta kerana terpaksa membayar kepada Hak Ju,” katanya.

Tiada ulasan: