Selasa, 17 November 2009

Projek landasan kembar Rawang-Ipoh dipersoal

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Penasihat DAP, Lim Kit Siang, mempersoalkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat projek landasan berkembar Rawang-Ipoh.

Kit Siang berkata, SPRM hanya akan melakukan siasatan terhadap projek tersebut berdasarkan aduan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Apakah benar ada prosiding ‘hantu’ PAC mengenai projek ini seperti yang diperkatakan SPRM dan Nazri?

“SPRM tidak boleh melakukan siasatan terhadap projek landasan berkembar ini berdasarkan prosiding PAC kerana PAC belum lagi memulakan siasatan terhadap projek RM1.43 bilion ini,” katanya dipetik dari blognya.

Kit Siang mendakwa bakas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy, ketika disoal PAC, pernah mengatakan projek itu mungkin tiga kali lebih besar daripada projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

“Kenapa dalam sesetengah kes, SPRM mesti menunggu minit mesyuarat dan testimoni dari PAC untuk melakukan siasatan?

“Adakah Nazri sebenarnya bercakap mengenai siasatan SPRM terhadap Menteri Pengangkutan kini, Datuk Seri Ong Tee Keat, yang bertanggungjawab membeli empat komuter berkuasa diesel berusia 20 tahun untuk landasan berkembar ini? Nazri sepatutnya memberi penjelasan lebih baik,” katanya.

Dalam laporan Jabatan Audit Negara bulan lalu, kerajaan mungkin terpaksa menanggung kerugian sehingga RM1.14 bilion dalam projek landasan berkembar melibatkan jarak 179km itu kerana pengurusan yang teruk.

Pada 2003, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi terpaksa tangguh projek itu kerana dikritik Perdana Menteri sebelumnya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengangap ia membazirkan wang negara.

Tiada ulasan: