Ahad, 8 November 2009

Program Subur manfaatkan lebih 200,000 keluarga

BERNAMA


SABAK BERNAM - Mulai 1 Disember ini, lebih 200,000 keluarga di seluruh negara bakal menikmati Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, malam tadi.

Najib berkata, melalui Subur golongan miskin, miskin tegar termasuk golongan Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak mendapatkan baucar-baucar untuk ditukarkan bagi mendapatkan atau membeli beras terutamanya beras Super Tempatan 15 peratus (ST15).

Bagi golongan miskin tegar mereka akan mendapat baucar bernilai RM24 yang membolehkan mereka mendapat sekampit beras 10kg bernilai RM24 dan dengan tiga baucar bernilai RM24 diberi dalam sebulan, mereka akan mendapat 30kg beras secara percuma.

“Kalau 30kg cukup, kalau makan sepinggan cukup, kalau dua pinggan pun cukup,” katanya semasa berucap melancarkan skim itu di Dataran Tonggak 10 Sungai Besar di sini.

Menurutnya, bagi golongan miskin, mereka akan diberikan baucar bernilai RM10 di mana mereka perlu menambah RM14 bagi mendapatkan sekampit beras seberat 10kg.

Selain daripada golongan miskin dan miskin tegar, rumah-rumah kebajikan juga akan menikmati pemberian baucar bernilai RM10 sebulan di bawah Subur.

Najib berkata, Subur, yang dikendalikan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, adalah usaha kerajaan membantu rakyat dan kerajaan mesti bergelumang dengan isu-isu periuk nasi rakyat dan merasai denyut nadi rakyat.

“Saya tak mahu rakyat keluh kesah makanan tidak cukup, dapur berasap ke tak berasap, pakaian anak ke sekolah cukup ke tidak, rumah sempurna ke tidak atapnya tidak tiris atau bocor,” katanya.

Menurutnya, Subur adalah contoh program bantuan kerajaan yang sangat baik bagi membantu rakyat.

Sebelum ini beliau berkata, kerajaan telah memberikan bantuan seperti elaun sara hidup nelayan bernilai RM200 sebulan, penjualan 45,000 unit rumah projek perumahan rakyat dengan harga RM35,000 seunit dan meningkatkan peruntukan bagi pinjaman Mara dan Tekun.

Tiada ulasan: