Rabu, 18 November 2009

Polis Serah Dokumen Pemilikan Saham Azmin Kepada SPRM - Musa

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneruskan siasatan kes pemilikan saham Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dan isterinya, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata salinan dokumen asal dan keterangan berkaitan kes itu telah diserahkan polis kepada SPRM.

"Dulu ada siasatan yang dibuat berhubung perkara ini oleh SPRM, maka rekod, dokumen dan keterangan yang diberikan kepada kita telah diserahkan kepada SPRM semalam bagi menyambung siasatan (mereka)," kata Musa kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Semalam, bekas setiausaha Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anuar Shaari membuat laporan polis berhubung pemilikan saham oleh Naib Presiden PKR Azmin Ali dan isterinya Shamsidar Taharin yang dikatakan mencecah RM2 juta.

Anuar, 40, yang turut menyerahkan salinan dokumen asal berhubung perkara itu kepada polis membuat laporan pada pukul 11.45 pagi di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Bukit Aman, di sini.

Anuar, yang pernah bertugas dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama dua tahun bermula 1996, juga membuat laporan polis untuk mengesahkan kesahihan dokumen tersebut.

Musa berkata "Kita dah rekod kenyataan apabila pengadu (Anuar Shaari) buat report (laporan polis). Dia (pengadu) buat report fasal saham (Azmin) dan ingin tahu dokumen yang diserahkannya (pengadu) kepada kita (polis) sahih atau tidak...kita serah pada SPRM (untuk siasat) kerana siasatan awal telah dibuat oleh mereka (SPRM)."

Ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak yang mengatakan polis menggunakan kekerasan melampau dalam kes di Klang baru-baru ini di mana lima lelaki yang disyaki suspek kes rompakan ditembak mati, beliau berkata polis juga mempunyai hak asasi untuk mempertahankan diri.

Beliau berkata mereka yang mempertikai tindakan polis harus berfikir untuk berada di pihak yang mendukung undang-undang atau menyokong tindakan ganas penjenayah.

"Tugas polis adalah untuk melindungi orang ramai. Kita tidak protect (lindungi) penjenayah," katanya.

Beliau berkata, tindakan polis itu bukan dilakukan sewenang-wenang tetapi sebaliknya memikirkan ketenteraman orang awam yang tidak harus dipertikaikan malahan tindakan menembak penjenayah merupakan jalan terakhir. "Kalau mereka (penjenayah) bertindak ganas kita terpaksa bertindak. Mereka perlu surrender (menyerah diri) kalau mereka tidak mahu mati. Kita tidak mahu anggota kita yang ditembak dahulu," katanya.

Sementara itu, beliau berkata mana-mana pihak yang mempunyai bukti atau maklumat mengenai kedudukan penyiasat persendirian, P.Balasubramaniam ketika ini diminta tampil bagi membantu siasatan polis.

Pihak berkuasa termasuk Jabatan Imigresen sentiasa memantau pergerakan mana-mana individu dalam senarai yang dikehendaki polis di setiap pintu masuk negara ini, katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah laman web yang mendakwa penyiasat persendirian itu kini berada di negara ini setelah "hilang" sejak Julai tahun lepas.

Balasubramaniam dan keluarganya dikatakan ke luar negara kerana bimbang keselamatan mereka terancam selepas terbabit dalam kontroversi Akuan Bersumpah kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Polis juga perlu mendapatkan keterangan Balasubramaniam berhubung kes pecah masuk rumahnya di Taman Pelangi, Rawang tahun lepas.

Tiada ulasan: